Wanita Hazara di Pakistan belajar karate untuk pertahan diri

Wanita Hazara di Pakistan belajar karate untuk pertahan diri

Seni mempertahankan diri mula berkembang di kalangan komuniti masyarakat Syiah Hazara yang berdepan pelbagai ancaman.

Wanita dari masyarakat Syiah Hazara mempelajari seni mempertahankan diri bagi melindungi diri mereka dan keluarga. (Gambar AFP)

Beratus-ratus wanita dari masyarakat Syiah Hazara kini mempelajari seni mempertahankan diri yang dikatakan semakin berkembang di kalangan komuniti itu.

Masyarakat itu berdepan dengan keganasan sejak berdekad lalu di barat daya bandar Quetta dan menetap di dua kawasan berasingan yang dikepung oleh pos kawalan dan pengawal bersenjata untuk melindungi mereka.

Manakala golongan wanita juga perlu melengkapi diri dengan seni mempertahankan diri berikutan sering berdepan gangguan seksual terutama di kawasan sesak seperti pasar atau pengangkutan awam.

“Karate tidak boleh menghalang serangan bom tetapi seni mempertahankan diri ini menjadikan saya seorang yang lebih berkeyakinan.

“Semua orang sini tahu saya ke kelab seni mempertahankan diri dan tidak ada siapa yang berani menegur setiap kali saya keluar,” kata Nargis Batool, 20, kepada AFP.

Ketika ini terdapat lebih 4,000 orang menghadiri kelas mempertahankan diri yang dianjurkan oleh lebih 25 kelab di wilayah Balochistan, kata ketua Persatuan Wushu Kung Fu Balochistan, Ishaq Ali.

Dua akademi terbesar di bandar itu masing-masing melatih sekitar 250 orang yang kebanyakannya wanita muda Hazara.

Ramai di antara mereka yang ingin mencari wang dengan menyertai pelbagai pertandingan seni bela diri.

Menurut guru bela diri, Fida Hussain Kazmi, biarpun aktiviti itu bukan perkara biasa yang dilakukan di sebuah negara konservatif namun ia diberi pengecualian.

“Secara umumnya, wanita tidak boleh melakukan senaman dalam masyarakat kami tetapi demi mempertahankan diri dan keluarga, kami diberi kebenaran.

Perkembangan itu turut membolehkan juara kebangsaan, Nargis Hazara dan Kulsoom Hazara memenangi pingat dalam pertandingan antarabangsa.

Fida berkata, dia setakat ini sudah melatih beratus wanita sejak beberapa tahun lalu selepas mempelajari sukan berkenaan daripada guru dari China di timur bandar Lahore.

Dia menyediakan kelas dua jam dan latihan selama enam hari seminggu dengan harga 500 rupee (RM13) tetapi mengajar kelas percuma kepada wanita yang hilang saudara mara dalam serangan militan ganas.

“Komuniti Hazara berdepan banyak masalah dan dengan karate kami mula berasa lebih selamat,” kata pelajar berusia 18 tahun, Syeda Qubra yang adiknya terbunuh dalam serangan bom pada 2013.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.