
Mungkin bagi kebanyakan orang, gelanggang tinju adalah tempat untuk mempamerkan kekuatan serta sifat kelelakian terutama apabila dapat menewaskan pihak lawan.
Namun, situasi itu berbeza bagi kanak-kanak berusia sembilan tahun di Thailand yang melihatnya sebagai satu-satunya cara untuk dia keluar daripada kepompong kemiskinan.
Apa yang mendorong Pornpattara ‘Tata’ Peachaurai ialah wang hasil kemenangan yang bakal diperolehi setiap kali bertarung dan semuanya diberikan kepada ibu untuk membeli barang keperluan keluarga.
Bagaimanapun, dia kini resah kerana tidak dapat turun ke gelanggang sejak lebih lima bulan lalu berikutan dilanda pandemik Covid-19 sekali gus sukar mencari rezeki untuk keluarga.
“Semua wang yang diperolehi daripada tinju termasuk bayaran tetap dan tips diberikan kepada ibu saya.
“Saya bangga dapat menjadi seorang peninju dan mencari rezeki untuk ibu,” katanya.
Kali terakhir dia ke gelanggang ialah pada Oktober lalu sebelum gelombang kedua Covid-19 melanda Thailand menyebabkan semua acara sukan tidak dapat diadakan.
“Saya tidak dapat bertinju dan langsung tidak berlatih. Kini saya membantu ibu menjual barang,” katanya.
Kanak-kanak itu tinggal bersama ibu dan kakak berusia 16 tahun, Poomrapee yang juga seorang peninju mewakili pasukan remaja kebangsaan.
Keluarganya bergantung kepada pendapatan Tata untuk menyara kehidupan seharian dan kanak-kanak itu berharap satu hari nanti dia dapat menceburi bidang itu secara profesional atau mewakili pasukan beruniform.
“Biasanya dia akan memberikan wang hasil pertarungan tinjunya kepada saya. Kadangkala dia ada meminta saya membelikan permainan untuknya,” kata ibu Tata, Sureeporn Eimpong.
Di Thailand, pertarungan antara peninju kanak-kanak agak popular seperti peninju dewasa dan lazimnya mereka beraksi menerusi pelbagai pertandingan serta festival.
Menurut Persatuan Tinju Profesional Thailand, terdapat kira-kira 300,000 peninju yang berusia di bawah 15 tahun di negara itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]