Musim bunga ‘Sakura Malaysia’ melanda negara

Musim bunga ‘Sakura Malaysia’ melanda negara

Fenomena yang jarang-jarang berlaku ini bukan hanya mewarnai pemandangan jalan dan kawasan sekitar tetapi menjadi tarikan berswafoto.

Pokok tekoma mekar merimbun di beberapa kawasan yang menarik minat pengguna jalan raya untuk bergambar. (Gambar Bernama)

Selepas beberapa negeri, kini negeri Perak turut dilanda musim bunga ‘Sakura Malaysia’ yang mengindahkan pemandangan sekitar hingga menjadi tarikan orang ramai.

Tinjauan Bernama mendapati fenomena pokok berbunga warna putih dan merah jambu yang merimbun itu dikesan di beberapa kawasan di Ipoh antaranya Taman Putra Indah di Brcham, kawasan Taman Rekreasi Gunung Lang dan perkarangan parkir Stadium Perak.

Pengguna jalan raya yang melalui kawasan-kawasan berkenaan dilihat memberhentikan kenderaan masing-masing untuk mengambil peluang bergambar di kawasan pokok tekoma atau pun nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla yang mula mekar baru-baru ini.

Nur Aliah Azman, 25, yang ditemui di sini semasa mengagumi panorama indah itu berkata beliau berasa amat teruja kerana pemandangan sedemikian jarang berlaku di negara ini.

“Saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar di kawasan Stadium Perak ini dan dikongsi untuk tatapan di laman sosial Instagram dan facebook,” katanya.

Selain Ipoh, suasana mempersonakan dengan lambakan bunga yang gugur seakan-akan berada di Jepun itu juga dilihat mewarnai pemandangan jalan dan kawasan sekitar Jalan Muzaffar Shah, Asam Kumbang di Taiping dan Jalan Siakap, Bagan Serai serta Tasik Lintang Makmur di Sungai Siput selain di sekitar Stadium Seri Manjung.

Terdahulu Bandaraya Kuala Lumpur turut dihiasi dengan keindahan bunga sakura. Antara landskap yang dihiasi bunga ini adalah Jalan Sentul menghala ke Batu Caves dan susur keluar Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Yang pasti, fenomena yang jarang-jarang berlaku ini bukan hanya mewarnai pemandangan jalan dan kawasan sekitar tetapi menjadi tarikan berswafoto dan ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan sesi fotografi dengan menjadikan kawasan itu sebagai latar belakang dalam mempromosikan produk perniagaan mereka.

Sebelum ini tular di laman Facebook, Asal Gombak yang memaparkan kecantikan pokok tekoma ini sehingga ada yang menyarankan Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan kepada pelancong apabila reda pandemik nanti.

Ada juga nitizen yang mengesyorkan agar tanaman yang berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan itu diperluaskan di lebih banyak kawasan atau sebuah taman khas yang akan menjadi tarikan dunia.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Hortikultur Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sakinah Idris berkata lazimnya bunga yang sering dijadikan hiasan landskap tersebut akan mula mekar selepas musim kemarau yang disusuli musim hujan.

“Biasanya bunga ini akan mekar dua kali setahun iaitu sekitar hujung Mac hingga awal April dan hujung Ogos sehingga awal September, namun ia bergantung pada tempoh musim panas dan hujan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.