Cetusan hati Mulaika di pameran seni Momo

Cetusan hati Mulaika di pameran seni Momo

Artis abstrak Mulaika Nordin berusia 17 tahun adalah artis termuda yang pernah mempamerkan hasil karya di Balai Seni Negara.

Bagi Mulaika, karyanya adalah salah satu saluran ekspresi diri.
KUALA LUMPUR:
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, seni adalah salah satu hobi yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang tanpa mengenal jantina atau usia.

Ia adalah hobi yang menenangkan jiwa dan lebih baik lagi sekiranya boleh dijadikan sebagai kerjaya.

Itu yang cuba dilakukan oleh remaja berusia 17 tahun, Mulaika Nordin sebagai artis abstrak yang ingin mewarnai dunia seni.

Bagi komuniti seni Malaysia, ia adalah satu pengiktirafan besar untuk sesiapa saja bila karyanya dipamerkan di Balai Seni Negara.

Malah, lebih mengagumkan apabila Mulaika menjadi artis termuda yang mempamerkan karya pada pameran solo ‘A Thousand Days of Change’ pada 2019.

Dua tahun kemudian, karyanya sekali lagi mendapat tempat di galeri berkenaan menerusi pameran seni Momo’s di Momo’s Kuala Lumpur bermula sekarang hingga 1 April depan.

Pameran yang diadakan dengan kerjasama hotel tersebut dan Art Seni bertemakan Hari Wanita Antara bangsa yang mempamerkan hasil karya beberapa wanita berbakat.

Mulaika yang dikenali sebagai artis abstrak kini memperluaskan karyanya kepada seni pemasangan dengan mempamerkan karya bertajuk ‘In My Mind In Yours’ di pameran berkenaan.

Karya yang dipamerkan kepada orang ramai di pameran seni Momo.

Gadis ini wajar menjadi inspirasi kepada orang ramai apabila dia mampu mencapai pelbagai kejayaan dengan melakukan apa yang diminatinya pada usia masih muda.

“Saya sedang menghabiskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Mulaika yang menjelaskan mengapa dia memilih abstrak sebagai medium kreativitinya berkata, “Seni abstrak adalah cara terbaik untuk saya mengekspresikan diri. Saya tidak boleh melakukannya dengan cara lain,” katanya.

“Lukisan saya adalah cermin kehidupan saya. Apa yang saya buat, semuanya dilakukan berdasarkan emosi,” katanya.

Ketika mempunyai perasaan sedih, pemilihan warna untuk karya seninya juga terikut sama.

Jika moodnya lebih ceria, ia juga akan dijelaskan ke dalam kanvas yang dipenuhi dengan warna terang serta bertenaga.

Dia adalah salah seorang daripada artis wanita tempatan yang diberi peluang mempamerkan karya seninya.

Peluang yang diberikan untuk mempamerkan karya seni kepada umum agak ‘mengejutkan’ untuk artis muda ini, namun ia sesuatu yang tidak patut dilepaskan Mulaika.

“Saya berasa disokong, disayangi namun agak ‘terdedah’. Ia seperti saya bersikap jujur kerana mempamerkan perasaan saya kepada umum,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana dia memberi reaksi kepada maklum balas mengenai seninya dia hanya berkata ‘tidak’.

Namun, dia masih terbuka kepada apa saja nasihat dan berkongsi nasihat terbaik pernah diterimanya iaitu untuk tidak berhenti meneruskan minatnya itu.

“Setiap kali orang berkata kepada saya ‘jangan berhenti’, saya rasa ia menenangkan malah memberi motivasi,” katanya.

Nasihat itu amat berguna untuknya terutama ketika dirinya buntu untuk mencari idea kreatif menghasilkan lukisan atau sesuatu dalam jangkamasa panjang hingga berbulan.

Dia tidak tertekan dengan keadaan itu malah ia memberi masa untuknya bertenang dan berfikir idea baru untuk diluahkan ke atas kanvas.

“Sebaik mendapat inspirasi, saya tidak akan berhenti melukis sehinggalah semuanya diluahkan,” katanya yang boleh menyiapkan satu karya dalam tempoh lima jam.

Karya Mulaika di bahagian kiri sekali bersama karya artis lain.

Walaupun dia banyak menggunakan cat akrilik dan berkembang kepada seni pemasangan namun kini dia menerokai satu lagi aspek seni iaitu lukisan arang.

“Saya cuba berjinak dengan muzik dan berharap dapat mengeluarkan album eksperimen tahun ini namun, pada masa sama banyak lukisan yang ingin dihasilkan selain seni pemasangan juga,” katanya.

Seni kulinari juga turut mencuri perhatiannya apabila dia mempunyai hasrat untuk menulis buku masakan.

Mulaika bersama karya seni pemasangan terbaru, ‘In My Mind In Yours’.

Baginya, perkara terbaik menjadi seorang artis ialah jangkaan masyarakat terhadap mereka agak berbeza.

Menurutnya, artis tidak terikat dengan standard masyarakat dan atas sebab itu dia rasa dialu-alukan oleh rakan artis lain di Malaysia.

Walaupun ada cabaran tertentu dalam dunia seni namun Mulaika gembira menyertainya.

“Walaupun industri seni ini tidaklah begitu besar namun saya boleh bertemu dengan ramai artis. Setiap daripada mereka amat ramah dan cuba untuk memahami karya seni setiap orang,” katanya.

Karya seni Mulaika dan beberapa artis berbakat lain akan dipamerkan di pameran seni Momo’s sehingga 1 April depan. Maklumat lanjut boleh diikuti disini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.