Patung Malaysia Airlines laris terjual

Patung Malaysia Airlines laris terjual

Patung kebaya jahitan tangan itu menggunakan kain sebenar pakaian seragam kru penerbangan Malaysia Airlines.

Patung berbaju kebaya serta kostum tradisional Sabah dan Sarawak mula dijual di laman web Temptations.

Malaysia Airlines baru saja melancarkan beberapa patung stok terhad yang boleh dibeli bermula 10 Mac lalu.

Koleksi MHartisans itu termasuk patung yang memakai pakaian seragam ikonik kru penerbangan Malaysia Airlines termasuk kostum tradisional Sabah dan Sarawak.

Namun, patung kebaya dan kostum Sabah itu dilaporkan habis terjual sejak 12 Mac lalu.

“Biarpun kami tidak dapat melakukan penerbangan, namun segelintir kru penerbangan meneruskan minat mereka dan menunjukkan bakat masing-masing.

“Hari ini kami dengan bangganya memperkenalkan MHartisans iaitu satu inisiatif untuk menyokong kraftangan seterusnya boleh dibeli orang ramai menerusi laman web Temptations,” tulis Malaysia Airlines.

Patung berbaju kebaya itu mempunyai saiz setinggi 32 sentimeter dan turut didatangkan dengan pendiri patung serta kotak hadiah.

Baju kebaya patung terbabit adalah jahitan tangan dan menggunakan kain sebenar pakaian seragam Malaysia Airlines yang dianggap sebagai salah satu pakaian seragam syarikat penerbangan paling cantik di dunia.

Ia turut membawa beg tangan kulit dan diperagakan mengikut standard kru penerbangan Malaysia Airlines iaitu termasuk gaya rambut Perancis klasik.

Patung yang dijual dengan harga RM269 itu dikatakan sudah kehabisan stok namun laman web itu hanya menyebut ‘kehabisan stok buat sementara’ dan mungkin anda masih berpeluang membelinya.

Satu lagi yang habis dijual adalah patung berpakaian kostum tradisional Kadazan di Sabah yang berketinggian 31 sentimeter, juga didatangkan bersama pendiri serta kotak hadiah.

Baju (Sinuangga) dan skirt panjang (Tapi) diperbuat daripada kain beldu dengan renda emas manakala aksesorinya mereplikakan ‘syiling’ perak dipanggil sebagai Himpogot.

Patung ini juga kehabisan stok buat sementara dan dijual pada harga RM329.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.