Barbie perkenal patung Eleanor Roosevelt sempena Hari Wanita

Barbie perkenal patung Eleanor Roosevelt sempena Hari Wanita

Bekas Wanita Pertama AS menjadi salah satu koleksi rangkaian Inspirasi Wanita Barbie

Patung Barbie Eleanor yang baharu diperkenalkan. (Gambar Instagram)

Syarikat pengeluar patung Barbie, Mattel melancarkan patung baru sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut hari ini.

Jenama terbabit mengeluarkan patung Barbie Eleanor Roosevelt bagi mengiktiraf bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) yang dilihat sebagai ikon wanita.

“Semua perubahan besar bermula dengan sikap percaya kepada diri sendiri bahawa anda boleh melakukannya. #Barbie dengan bangganya ingin memperkenalkan patung Eleanor Rossevelt sebagai salah satu rangkaian Inspirasi Wanita.

“Tokoh kemanusiaan sepanjang hayat, dia menjadi lambang wanita dalam bidang politik dan kehidupan.

“Sepanjang perkhidmatan, dia menggunakan suaranya untuk menaikkan semangat orang lain dan menjadi inspirasi untuk orang ramai bersuara. #YouCanBeAnything,” kata syarikat itu menerusi akaun rasmi Barbie di Twitter.

Patung Eleanor itu akan menjadi sebahagian daripada rangkaian besar Inspirasi Wanita keluaran Mattel.

Koleksi itu dihasilkan dengan menjadikan beberapa figura terkenal sebagai inspirasi wanita termasuk pemain papan luncur profesional, Sky Brown, artis, Frida Khalo serta aktivis hidupan liar, Bindi Irwin.

“Barbie amat komited untuk mengangkat beberapa contoh model yang memperkasakan wanita dari zaman sebelum ini dan sekarang untuk memberi inspirasi kepada ramai kanak-kanak perempuan.

“Sebagai perkara penting dalam inisiatif global kami, Dream Gap Project, kami memperkenalkan kisah wanita daripada pelbagai latar belakang kepada mereka,” kata Mattel.

Pengenalan patung itu mendapat maklum balas positif daripada peminatnya yang memuat naik gambar di media sosial selain memuji jenama itu sebagai ‘progresif’.

“Ini adalah ‘hype’. Eleanor Roosevelt sangat hebat dan ceritanya amat menarik untuk dibaca jika anda tidak mengenali beliau,” komen seorang peminat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.