Brandy kembali selepas 15 tahun menghilang

Brandy kembali selepas 15 tahun menghilang

Kucing berbelang coklat berjaya dikesan menerusi mikrocip selepas lama menghilang.

Charles mengusap kucing kesayangannya, Brandy. (Gambar AP)

Seorang lelaki bagaikan tidak percaya apabila kucingnya yang hilang kira-kira 15 tahun lalu kembali ke pangkuannya selepas dikesan menerusi mikrocip, dalam kejadian di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Charles mula menjaga Brandy sejak 2005 ketika ia berusia dua bulan dan baru-baru ini kucing berbelang coklat bernama Brandy itu kembali kepada Charles lapor NBC.

“Ia amat menakjubkan, saya bagaikan tidak percaya. Saya agak emosi ketika dapat memegangnya kerana begitu gembira ia telah kembali.

“Saya sebak dan mula menangis kerana sering teringat kucing yang hilang,” kata Charles yang bekerja sebagai juruteknik komputer.

Brandy berjaya ditemui di Palmdale iaitu kira-kira 64 kilometer daripada tempat tinggal Charles di San Fernando Valley oleh pusat perlindungan haiwan Los Angeles yang mengesannya menerusi mikrocip yang ditanam dalam badan Brandy.

Charles berkata, kucing terbabit hilang beberapa bulan selepas dia mengambil untuk menjaganya.

“Pada mulanya dia hanya keluar bermain di belakang rumah dan apabila ingin mengambilnya semula, ia sudah hilang,” katanya.

Charles kemudiannya mencari di kawasan sekitar termasuk pusat perlindungan haiwan dan menampal iklan namun tidak berhasil.

“Saya sangat sedih ketika itu kerana kucing berkenaan diambil atas rasa tanggungjawab terhadap haiwan,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang sama ada Brandy mati dilanggar kenderaan atau diserang koyote.

“Saya berharap ada orang menemui serta menjaganya dan selama ini saya mengagak itu yang berlaku,” katanya.

Selepas kehilangan Brandy, dia berpindah ke tempat lain dan mengambil dua kucing lain.

Charles bernasib baik apabila nombor telefon bimbitnya masih sama seperti disenarai pada mikrocip terbabit.

“Saya agak ragu-ragu dan menyangka ia adalah satu kesilapan.

“Mungkin ini adalah peluang satu dalam sejuta untuk menemui Brandy selepas 15 tahun tetapi data dalam mikrocip tidak boleh ditipu,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.