Freddy, anjing jantan tertinggi di dunia mati

Freddy, anjing jantan tertinggi di dunia mati

“Freddy membuat semua orang tersenyum dan akan dirindui oleh semua di Guinness World Records,” ujar Ketua Editor GWR, Craig Glenday.

Freddy, anjing tertinggi yang mempunyai hati dan cinta yang besar. (Gambar Guinness World Records)

Freddy the Great Dane, yang memegang rekod sebagai anjing jantan tertinggi (yang masih hidup) di dunia, mati pada usia 8 tahun setengah. Berita itu dimuat turun oleh guinnessworldrecords.com, pada Rabu lalu (27/1/2021).

Haiwan raksasa itu superstar antarabangsa apabila rekodnya pertama kali diumumkan pada tahun 2016.

Sewaktu diukur oleh doktor haiwan dan juga Ketua Editor Guinness World Records (GWR), Craig Glenday, Freddy memiliki ketinggian 103.5 cm (3 kaki 4 in) dari kaki hingga “withers” (bahagian tertinggi punggung).

Apabila berdiri dengan kaki belakangnya – walau bukan ukuran rasmi diukur oleh GWR – tinggi Freddy mencapai 226 cm (7 kaki 5.5 in).

Pemilik Freddy, Claire Stoneman dari Essex, sangat terkesan dengan kematian haiwan kesayangannya itu.

“Dia bukan hanya anjing tertinggi, tapi anjing yang mempunyai hati dan cinta terbesar.

“Dia adalah hidup saya. Alasan saya hidup. Sumber kebahagiaan saya. Dan dia juga kesedihan saya,” kata Claire.

Menurut Claire, sewaktu kecil, Freddy tergolong anjing paling kerdil. Dia mendapatkan anjing tersebut beberapa minggu lebih awal dari yang sepatutnya kerana Freddy tidak mendapat makanan yang baik dari ibunya.

“Saya sama sekali tidak menyangka dia akan menjadi sebesar ini,” ujar Claire.

Ketua Editor Guinness World Records (GWR), Craig Glenday pula apabila bercerita tentang Freddy berkata, “Freddy adalah raksasa yang lembut, dan selalu menyenangkan apabila melihatnya melompat ke arah kita.

“Mengukur tinggi anjing ini adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan, dan saya akan selalu ingat saat kesempatan bersamanya di sofa,” ujar Craig Glenday.

“Freddy membuat semua orang tersenyum dan akan dirindui oleh semua di Guinness World Records.

“Saya gembira mendapat kesempatan untuk meraikan betapa besarnya dia, dan memecahkan rekod, serta berkongsi kisah hidupnya dengan jutaan orang di seluruh dunia. RIP (rehatlah dengan aman), Freddy,” kata Craig lagi.

Pada tahun 2016, pasukan Guinness World Records telah menghabiskan beberapa hari untuk membuat dokumentari mengenai Freddy.

Mereka mengambil gambar Freddy dan Claire di rumahnya di Leigh-on-Sea, Essex.

Pada awalnya, Freddy berasa takut dengan pita pengukur yang dipegang oleh doktor haiwan tersebut sehingga memerlukan waktu yang lebih lama untuk mengukur tinggi anjing raksasa itu.

Kisah Freddy telah menarik minat orang ramai di seluruh dunia. Gambar-gambarnya juga tersebar di media sosial dan akhbar di seluruh dunia.

“Saya tidak boleh berhenti menangis,” kata Claire ketika dia menyampaikan berita kematian Freddy.

“Dia adalah hidupku,” ungkap Claire.

Pemegang rekod untuk anjing tertinggi yang pernah ada di Guinness World Records adalah Zeus dari Otsego, Michigan, Amerika Syarikat dengan ukuran 111.8 cm (44 inci) dari kaki ke “withers” (punggung) pada 2011.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.