Minat melukis, jadikan Shukor pelukis “air brush” yang disegani

Minat melukis, jadikan Shukor pelukis “air brush” yang disegani

Daripada minat dan hobinya itu bertukar sebagai punca pendapatan apabila Syukur menjalankan perniagaan reka bentuk langganan yang menggunakan udara mampat untuk menyembur cat bagi mendapatkan kesan semburan yang halus dan licin (air brush).

Mohamed Shukur Mohamed, pelukis “air brush” yang disegani di bandar raya Kuching. (Gambar Bernama)

Minat melukisnya sejak di bangku sekolah lagi. ‘Tangan magisnya tidak reti duduk diam’ asyik melakar lukisan di atas kertas kosong sahaja hingga hilang fokus semasa guru mengajar.

Kini, Mohamed Shukur Mohamed, 35, yang pernah digelar ‘sampah masyarakat’ sewaktu zaman persekolahan itu menjadi pelukis air brush yang disegani di bandar raya Kuching.

“Minat melukis sudah sebati dalam jiwa. Pantang ada masa lapang saja, saya akan ambil kertas dan pen untuk melukis apa yang saya lihat. Rasa satu kepuasan apabila dapat terjemahkan ia dalam bentuk lukisan,” ujarnya.

Daripada minat dan hobinya itu bertukar sebagai punca pendapatan apabila dia menjalankan perniagaan reka bentuk langganan yang menggunakan udara mampat untuk menyembur cat bagi mendapatkan kesan semburan yang halus dan licin (air brush).

Selalunya ia akan digunakan pada motosikal berkuasa besar, topi keledar, basikal dan apa sahaja barangan mengikut corak yang dimahukan oleh pelanggan.

Rocketeer Custom Art yang mula beroperasi sejak akhir 2019 telah menjadi buah mulut penggemar ‘custom design’ yang ingin melakukan transformasi secara total bagi barangan mereka terutama pemilik motosikal berkuasa besar Harley Davidson.

Segalanya bermula tujuh tahun lepas, ketika itu Shukur yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pemasaran masih lagi bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuching.

Dia sering mengikuti bike week yang menjadi tempat berkumpul para penggemar motosikal berkuasa besar dan beliau sendiri mempunyai sebuah motosikal jenis Honda Shadow VLX 600.

Shukur bersama hasil kerja seninya. (Gambar Bernama)

“Apabila berkecimpung dalam hobi motosikal berkuasa besar ini, antara perkara pertama yang akan menjadi topik perbualan semasa bike week adalah mengenai helmet dan selalunya siapa mempunyai helmet yang cantik dan rare akan menjadi perhatian,” ujar bapa kepada dua orang cahaya mata ini.

Bertitik tolak daripada itu, Shukur mula membuat teknik lukisan semburan (pengecatan yang dibuat dengan menggunakan alat sembur atau tin aerosol) pada helmet beliau dan berazam untuk ditunjukkan kepada rakan pada bike week yang seterusnya, kerana dari pemerhatiannya semua helmet dan barang aksesori yang terdapat pada bike week dijual sangat mahal.

“Pada masa itu, saya tak pernah dengar lagi air brush, yang saya tahu cat guna alat sembur tin aerosol. Hasil kerja seni saya pada helmet itu menjadi pertanyaan kawan-kawan apabila kami berkumpul pada bike week. Mereka semua tertarik dan bertanya di mana saya membelinya.

“Selepas mendapat tahu saya yang membuatnya sendiri, mereka mula kagum dan meminta untuk saya buatkan pada helmet masing-masing,” jelasnya.

Kemudian, seorang sahabat mencadangkan Shukur untuk buat sesuatu yang lebih advance iaitu semburan cat udara – “air brush”. Malah, dia turut meminjamkan alat “air brush” kepada Shukur.

“Saya hanya perlu sebuah kompresor dan hos yang berharga kira-kira RM500. Saya buat “trial and error” dan ada kemajuan dalam hasil kerja saya,” katanya.

Shukur berkata karier sebenarnya bermula apabila seorang rakan terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2017. Motosikal Harley Davidsonnya mengalami kerosakan luaran yang teruk.

“Kawan saya itu meminta tolong sekiranya saya boleh membaiki motosikalnya. Jadi saya pun cuba tolong, masa itu saya tiada kelengkapan, yang ada pun hanya set air brush yang diberi pinjam sebelum ini,” katanya.

Dalam proses baiki itu, Shukur berkata ia mengambil masa selama tujuh bulan, sehingga terpaksa terbang ke Semenanjung Malaysia untuk mencari alat kelengkapan air brush yang selebihnya. Setelah pelbagai rintangan dilalui, dia akhirnya berjaya mengembalikan reka bentuk luaran motosikal itu kepada yang asal.

“Ibarat tidak putus rezeki, setelah siap projek itu saya mendapat tawaran daripada seorang pengurus yang juga pemilik motosikal Harley Davidson model Roadster yang ingin melakukan custom design bagi keseluruhan motosikalnya sekali gus pelanggan pertama saya,” katanya.

Menurut Shukur, proses menyiapkan motosikal pelanggan pertamanya itu dilakukan bermula dari belakang rumahnya yang terletak di Petra Jaya di mana pelbagai kesukaran dihadapi antaranya alatan yang kurang lengkap selain kawasan yang kurang sesuai.

“Selepas siap motosikal itu dan berpuas hati dengan hasilnya, beberapa bulan kemudian pengurus berkenaan telah menyertai pertandingan hiasan motosikal di salah sebuah bike week di Kuching di mana pada pertandingan itu, motosikal berkenaan mendapat tempat kelima,” katanya yang mengakui rezeki semakin bertambah apabila namanya semakin meningkat selepas kejayaan itu.

Shukor berkata, kehidupannya semakin sibuk selepas peristiwa itu dan pada masa sama duit yang diperoleh daripada perkhidmatan custom design yang dilakukan di belakang rumah itu, beliau kumpul untuk mengejar cita-cita membuka sebuah kedai.

Pada akhir 2019, cita-cita Shukur tercapai selepas berjaya membuka sebuah kedai custom design yang diberi nama Rocketeer Custom Art di Bandar Samariang di sini dan rezekinya semakin bertambah dengan pembukaan kedai berkenaan.

Sehingga kini, Shukor telah melakukan custom design air brush untuk motosikal Harley Davidson sebanyak 17 buah, lain-lain motosikal (10), helmet (43), basikal (enam) dan sebuah gitar yang ditempah khas untuk dihadiahkan kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, awal bulan ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.