Anak-anak pasti suka 4 haiwan peliharaan ini

Anak-anak pasti suka 4 haiwan peliharaan ini

Memelihara haiwan peliharaan banyak manfaatnya kepada kanak-kanak. Selain mengajar tentang nilai kasih sayang, memelihara haiwan juga akan mendidik mereka rasa tanggungjawab dan lebih berdisplin.

Kucing adalah antara haiwan peliharaan popular menjadi kegemaran kanak-kanak. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Kebanyakan kanak-kanak memang sukakan binatang, apatah lagi kalau dijadikan haiwan peliharaan. Mereka sememangnya cenderung menunjukkan kasih sayang kepada haiwan jika sudah memilikinya.

Tetapi bukan semua ibubapa setuju untuk memelihara haiwan peliharaan. Banyak masalah yang difikirkan seperti alahan, takut haiwan tersebut beranak-pinak dan bermacam-macam lagi.

Namun, sebenarnya memelihara haiwan peliharaan banyak manfaatnya kepada kanak-kanak. Selain mengajar tentang nilai kasih sayang, memelihara haiwan juga akan mendidik mereka mengenai rasa tanggungjawab dan lebih berdisplin.

Berikut adalah empat haiwan peliharaan yang baik untuk anak-anak, yang boleh dipertimbangkan oleh ibubapa:

1. Kucing

Kucing adalah antara haiwan paling popular menjadi pilihan untuk dipelihara oleh ramai keluarga. Ia bukan hanya comel tetapi sifatnya yang manja dan suka dibelai pasti membuat anak-anak ingin memilikinya.

Beberapa sifat haiwan ini yang perlu diketahui.

Kucing mempunyai sifat yang suka bersendiri tetapi ia akan mula menunjukkan perhatian dengan menjadi sangat manja dan penuh kasih sayang.

Si comel ini juga perlu diberi perhatian khusus dari segi rawatan dan penjagaan. Penyediaan tempat pembuangan juga perlu dan kucing juga amat pintar dan faham bila kita berinterasi dengannya.

Selain itu, mereka mungkin tidak begitu menarik bagi kanak-kanak setelah lama memilikinya kerana sifat malasnya.

Menambahkan mainan seperti bola akan mengembalikan sifat aktif kucing untuk beraksi.

2. Ikan

Memelihara ikan juga menjadi pilihan untuk anak-anak.

Menurut Pet Life Today, ikan adalah haiwan peliharaan yang ideal untuk anak-anak yang lebih kecil kerana ia memerlukan paling sedikit perhatian.

Mereka tenang dan tidak memerlukan tempat yang luas. Ikan hanya memerlukan akuarium yang ukurannya boleh disesuaikan.

Namun, anda perlu menyediakan jadual bagi waktu memberi makan dan membersihkan akuarium.

Ikan mudah dirawat dan tidak memerlukan banyak waktu untuk diluangkan, menjadikan ia haiwan peliharaan yang ideal untuk anak kecil.

Apatah lagi, mendekorasi akuarium dengan hiasan seperti batu kecil, kerang dan pokok-pokok hiasan selalu menjadi aktiviti yang menyenangkan untuk dilakukan bersama anak-anak.

3. Hamster

Hamster mudah dirawat dan dilatih dengan roda hamster atau berinteraksi dengannya. Hamster perlu dipelihara di ruang yang luas dengan terowong dan sarang untuk tidur.

Menurut Parents.com, beberapa jenis hamster boleh menjadi agresif sehingga sukar untuk ditangani.

Untuk itu, pilihlah jenis hamster yang ideal sebagai haiwan peliharaan.

Hamster biasanya hidup selama 3 tahun jadi pastikan anak-anak bersiap-sedia untuk menghadapi kematian haiwan peliharaannya.

4. Kura-kura

Kura-kura adalah haiwan yang paling kurang penjagaan dan pendiam.

Haiwan bertempurung ini boleh menjadi pendamping yang baik kepada anak-anak jika mereka hanya ingin berkongsi cerita dengan makhluk hidup lain selain ibubapa dan rakan mereka.

Kura-kura juga terkenal berumur panjang. Oleh itu, biarkan anak-anak membesar dengan haiwan peliharaannya dan menangani konsep kematian pada usia yang telah siap untuk dihadapinya.

Kura-kura memerlukan ruang yang khusus serta peralatan seperti penapis, tangki besar dan batu-batu hiasan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.