Pemilik kucing, hati-hatilah dengan penyakit sporo

Pemilik kucing, hati-hatilah dengan penyakit sporo

Sporotrichosis atau sporo bukan hanya membawa maut kepada binatang peliharaan seperti kucing tetapi juga boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Sporo ialah penyakit yang mudah menjangkiti haiwan peliharaan seperti kucing dan juga anjing.

Penyakit kulat sporotrichosis atau lebih dikenali sebagai sporo selalunya dikaitkan sebagai penyakit yang boleh membawa maut bagi haiwan peliharaan terutamanya kucing.

Tetapi tahukah anda kulat ini juga boleh memudaratkan kesihatan manusia?

Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Apa itu sporotrichosis?

Sporotrichosis atau sporo adalah jangkitan kulit yang disebabkan oleh kulat “sporothrix schenckii”.

Kulat ini sering dijumpai pada duri mawar, jerami, lumut sphagnum (spesies lumut yang sering digunakan untuk menanam anggerik atau tanaman hiasan lain), ranting, dan tanah.

Jangkitan ini lebih sering berlaku kepada tukang kebun dan mereka yang menanam bunga ros, pengeluar rumput kering, dan individu yang mengusahakan tanah.

Setelah kulat sporotrichosis ini menjangkiti kulit, ia memerlukan beberapa hari atau berbulan-bulan untuk gejala mulai muncul.

Namun begitu, ternyata penyakit kulat ini bukan sahaja diakibatkan oleh tumbuhan, ia juga boleh disebabkan oleh haiwan peliharaan anda, seperti kucing.

Sporotrichosis pada kucing dan anjing

Kucing dengan penyakit sporo ini lebih dikenali sebagai jangkitan “sporothrix brasiliensis” sering mengalami luka di wajah selalunya terjadi di sekitar hidung.

Sporo ialah penyakit yang mudah menjangkiti haiwan peliharaan seperti kucing dan juga anjing. Kebiasaannya, haiwan yang terdedah kepada aktiviti luar lebih mudah dijangkiti penyakit ini menerusi kulat sporo.

Kulat tersebut akan masuk ke badan melalui mulut, luka atau kedua-duanya dan luka tersebut tidak akan kering walaupun dirawat.

Kucing dengan penyakit sporo ini lebih dikenali sebagai jangkitan “sporothrix brasiliensis” sering mengalami luka di wajah mereka, selalunya terjadi di sekitar hidung.

Luka ini boleh terjadi akibat pergaduhan yang berlaku dengan kucing lain yang sudah dijangkiti. Oleh itu, jika kucing menjilat luka yang dijangkiti pada bahagian badan, mereka bakal memindahkan penyakit kulat tersebut ke bahagian wajah dan mulut.

Antara ciri jangkitan penyakit kulat ini adalah kecenderungan untuk meningkat menjadi wabak dalam kalangan kucing yang berpotensi tinggi untuk menular terhadap manusia.

Cara jangkitan adalah melalui sentuhan, gigitan dan cakaran kepada manusia.

Jangkitan kepada manusia

Bagi aspek tubuh badan manusia, kesan daripada jangkitan kuman sporo ini hanya dapat dirasai selepas 2 bulan iaitu melalui simptom-simptom seperti bengkak dan bisul.

Selain itu, kegagalan untuk mendapatkan rawatan segera mampu menyebabkan bisul-bisul ini tumbuh di sepanjang nodus limfa.

Malah, lebih teruk lagi jika ia merebak ke dalam paru-paru dan seluruh badan, akhirnya menyebabkan kematian.

Gejala dijangkiti sporotrichosis

Gejala pertama sporotrichosis adalah benjolan bisul pada kulit yang bertukar warna dari merah jambu sehingga hampir warna ungu.

Benjolan ini biasanya tidak menyakitkan atau hanya terasa lembut. Lama-kelamaan, ia boleh mengalami luka terbuka (ulser) yang dapat mengeluarkan cecair jernih.

Sekiranya tidak dirawat, benjolan dan ulser ini akan menjadi kronik dan mungkin tidak akan pulih selama bertahun-tahun.

Dalam kes yang sangat jarang berlaku, jangkitan kulat ini boleh merebak ke bahagian tubuh lain seperti tulang, sendi, paru-paru dan otak.

Perkara ini lebih biasa berlaku di kalangan mereka yang mempunyai sistem imun lemah, menjadikannya sukar untuk dirawat dan boleh mengancam nyawa.

Rawatan bagi jangkitan kulat sporo:

Rawatan sporotrichosis bergantung pada anggota badan yang dijangkiti.

  • Jangkitan pada kulit sahaja

Jangkitan sporotrichosis ini akan dirawat dengan larutan kalium iodida. Ubat ini diberikan 3 kali sehari selama 3 sehingga 6 bulan sehingga semua luka hilang. Jangkitan kulit juga boleh dirawat dengan itraconazole (sporanox) hingga 6 bulan.

  • Jangkitan sporotrichosis pada tulang dan sendi

Jangkitan ini jauh lebih sukar untuk dirawat dan jarang bertindak balas terhadap kalium iodida. Oleh itu, itraconazole sering digunakan sebagai ubat pada peringkat awal selama beberapa bulan atau hingga satu tahun.

Selain itu, amphotericin juga digunakan, tetapi ubat ini hanya boleh diberikan melalui IV. Amphotericin mempunyai lebih banyak kesan sampingan dan mungkin perlu diberikan selama berbulan-bulan.

Bagi kes yang kronik, pembedahan kadang-kadang diperlukan untuk membuang tulang yang dijangkiti.

  • Jangkitan pada paru-paru

Jangkitan paru-paru bakal dirawat dengan kalium iodida, itraconazole dan amphotericin dengan jumlah kejayaan yang berbeza-beza. Lebih buruk, kadangkala kawasan paru-paru yang dijangkiti terpaksa dikeluarkan.

  • Jangkitan di otak

Meningitis sporotrichosis jarang berlaku, oleh itu maklumat berkaitan rawatannya masih belum banyak yang diterokai.

Amphotericin plus 5-fluorocytosine umumnya disyorkan, tetapi itraconazole mungkin juga dapat dicuba.

Langkah pencegahan yang boleh dilakukan

Hadkan kontak rapat antara kucing peliharaan dan liar, terutama yang jelas kelihatan sakit.

Doktor haiwan, penjaga haiwan, dan pemilik haiwan pemeliharaan harus sentiasa berhati-hati ketika menangani kucing yang dijangkiti kulat ini, terutama haiwan yang kelihatan sakit atau mengalami luka yang jelas.

Ini kerana, seseorang individu boleh mendapat sporotrichosis daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti walaupun mereka tidak mencakar atau menggigit anda.

Sebilangan individu boleh mendapat sporotrichosis setelah menyentuh kucing yang dijangkiti dan kemudian menyentuh mata mereka.

Di samping itu juga, sentiasa berwaspada dengan haiwan yang tidak dikenali dan dekati mereka dengan berhati-hati, walaupun si comel itu mungkin kelihatan mesra.

Sekali lagi, hadkan kontak rapat antara kucing peliharaan dan liar, terutama yang jelas kelihatan sakit.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.