
Dia kemudian berhenti kerja pada Julai lalu dan menggunakan wang simpanannya di samping bantuan keluarga sebagai modal permulaan untuk membuka perniagaan itu.
“Saya pernah mengambil kursus jangka pendek selama sebulan dalam bidang Pengurusan Kucing. Usaha saya ini mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan perniagaan saya dibantu ibu selain terdapat dua pekerja pada masa ini,” katanya.
Dia kemudian memilih rumah dua tingkat di Taman Indera untuk mengusahakan ‘Syurga Kucing’, sebuah pusat operasi perkhidmatan penjagaan kucing bermula 11 Oktober lalu.
“Jika orang lain memilih premis-premis kedai sebagai tempat operasi perniagaan tetapi saya lebih senang memilih sebuah rumah sebagai tempat operasi untuk memberi kelainan kepada pelanggan dalam perkhidmatan ‘play with cat’.
“Play with cat ialah kelainan yang kita beri kepada pelanggan yang membolehkan pencinta kucing bermain dengan haiwan itu seperti berada di rumah sendiri. Kepada sesiapa termasuk pelajar yang ingin melepaskan tekanan untuk bermain dengan kucing, mereka boleh datang ke Syurga Kucing,” katanya lagi.
Bayaran RM5 untuk satu jam dikenakan untuk perkhidmatan ‘play with cat’ dan pelanggan perlu membuat janji temu terlebih dahulu bagi memastikan slot yang ditempah tidak bertembung dengan orang lain.
Terdapat 12 ekor kucing comel disediakan pihak Syurga Kucing di rumah yang begitu selesa dengan persekitaran yang sangat bersih dan kemas.
Syurga Kucing turut menyediakan perkhidmatan dandanan kucing dan penginapan bermalam yang boleh memuatkan antara 40 hingga 45 ekor kucing dengan harga antara RM15 hingga RM18 semalam.
“Harga RM15 ini bagi pelanggan yang menyediakan makanan kucing dan pasir sendiri manakala sekiranya pihak kita sediakan semua ini harga satu malam ialah sebanyak RM18 manakala harga untuk dandanan kucing pula bergantung kepada saiz dan panjang bulu kucing tersebut,” katanya.
Nuramalina yang berkelulusan bidang Multimedia daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pihaknya sangat mementingkan aspek kebersihan dan penyediaan makanan kucing yang berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus memuaskan hati pelanggan.
“Kita menggunakan makanan premium dari Jerman sebagai makanan kucing yang baik untuk penjagaan kulit dan bulu-bulu kucing malah air untuk minuman kucing ialah daripada air yang ditapis,” katanya yang turut memaklumkan perkhidmatannya itu beroperasi dari 10 pagi hingga 7 malam dan ditutup setiap Selasa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]