
Nampak pelik, kalau orang yang tidak biasa dengannya, mungkin rasa janggal tetapi itu realitinya. Dia bukan hanya suka tidur mendagu di atas cawan tetapi dia juga suka minum di dalam cawan.

“Mula-mula tu memanglah pelik, tak pernah saya tengok kucing minum dalam cawan. Tetapi lama-kelamaan jadi biasa pula. Rupanya itulah istimewanya dia. Itulah Kapash, tak pernah sunyi dengan perangai peliknya,” jelas Nurma Muhammad mengenai anak kucing jantan milik keluarganya.

Menurutnya lagi, gelagat Kapash minum di dalam cawan selalu menjadi bahan seloka mereka sekeluarga. Cawan merah jambu, cawan kegemaran Kapash. Airnya cuma air kosong tetapi bila dahaga, pasti dia meluru mencari cawan tersebut.
“Dia suka sangat dengan cawan ‘pink’ tu. Suka minum dalam cawan tu. Tetapi yang uniknya, lepas minum dia akan tidur mendagu di atasnya. Tak dapat cawan ‘pink’ dia tidur pula atas cawan lain, mana yang dia dapatlah.

“Dia memang bijak dan manja dengan semua orang. Tidur dalam rumah. Mendengar cakap, buang najis dalam bilik air dan dia juga suka tidur atas meja ‘study’ anak perempuan saya Aisyah. Itulah antara kegemaran dia,” jelas Nurma sambil tersenyum.
Gelagat Kapash buat keluarga ini sentiasa gembira. Setiap hari ada saja keletahnya. Rumah adalah dunia Kapash. Setiap hari dia akan aktif bermain dan berlari sesuka hati. Dia juga suka bermain dengan permainan tikus yang dibeli.

Menurut Nurma, Kapash berusia tujuh bulan dan lahir di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dahulu. Sejak lahir Kapash memang menjadi kesayangan keluarganya.
“Nenek Kapash berasal dari Rusia. Dibawa ke Malaysia oleh anak saudara saya yang belajar Medic di sana. Kiranya Kapash ini baka dari luar negara. Mungkin sebab itulah perangai dia agak istimewa.

“Lagi satu, Kapash suka mendengar bila kita bercakap. Dia seolah-olah faham apa yang kita cuba sampaikan. Kemudian dia akan menjawab kembali apa yang kita soal. Siapalah yang tak sayang bila melihat reaksi begini. Memang dia penghibur kami sekeluarga,” ujar Nurma.

Jelas Nurma lagi, Kapash adalah milik anaknya Iyad dan mereka memang sangat manja berdua. Malah, jika Iyad ada di rumah, Kapash tidak mahu berenggang, sentiasa suka didukung Iyad dan selalu saja bersama.

Bagi Nurma, si comel ini sudah seperti sebahagian keluarganya. Dialah penghibur dan manjanya seperti anak kecil yang sentiasa minta dibelai. Bijaknya membuatkan dia sentiasa dirindu jika tidak bersama. Kapash, si comel yang sangat istimewa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]