
Dengan begitu ramai artis bebas berusaha memperdengarkan karya mereka menerusi pemuzik arus perdana, agak sukar untuk mencetus impak di arena itu.
Namun, di sebalik pelbagai kesukaran dan cabaran yang dihadapi, sebilangan artis yang berbakat besar ini masih terus bertahan dengan harapan tuah menyebelahi mereka.
Baru-baru ini, tiga artis bergabung tenaga dalam satu projek kolaborasi yang akan menyaksikan single terbaru mereka, “Way Up”, dilancarkan di corong-corong radio hari ini serta di semua platform penstriman digital.
Tahun lalu, trio yang terdiri daripada zeauk, CLARY dan Khai Zhen melancarkan single R&B kolaboratif, “Mad at You”, sehingga meraih lebih 50,000 penstriman dan 20,000 penstriman di Spotify.
Ia satu permulaan yang cukup mengagumkan, memandangkan mereka baru bermula pada masa itu, dan kejayaannya adalah sesuatu yang mereka harap dapat dibina pada tahun ini dengan single terbaru mereka.
Bercakap kepada FMT, ketiga penyanyi itu menjelaskan bagaimana mereka sampai ke sini dan di mana mereka berharap dapat membawa kerjaya muzik mereka yang semakin mendapat tempat.
Menurut Yap Khai Zhen, 22, muzik telah lama menjadi impiannya, kerana sejak kecil lagi dia telah cenderung ke arah itu.
“Jadi, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Universiti Sunway dan di situlah saya benar-benar menemui impian saya,” katanya, mengenai keputusannya memilih kerjaya muzik.
CLARY, atau pemilik nama sebenar Ch’ng Lei, 23, berkata seni lirik adalah sesuatu yang dinikmatinya dengan sepenuh hati.

“Saya sangat suka menulis lirik, mengikut cara saya sendiri. Saya fokus untuk menghasilkan lirik dan itulah yang membuat saya terus kekal dalam muzik.”
Sebaliknya, zeauk, 22, atau nama sebenarnya Zeus Rectra, berkata keputusannya untuk menceburi kerjaya muzik adalah perkembangan yang agak baru.
“Ketika itu, saya lebih meminati seni fotografi dan visual. Tetapi beberapa tahun yang lalu, saya mula berjinak-jinak dengan muzik melalui rakan-rakan dan akhirnya entah maca, mana kami menghasilkan lagu hanya untuk suka-suka.”
Walaupun lagu itu dibuat secara tidak dirancang, ia meletup di Spotify sekali gus mendorong Rectra untuk meneruskan kerjaya muziknya.
Tiga sahabat ini disatukan kerana kecintaan mereka terhadap genre pop, hip-hop dan R&B, yang membolehkan mereka berhubung dengan mudah.
Jadi bagaimana mereka bertemu? Menurut Rectra, dia hanyalah kenalan biasa Khai Zhen sebelum menyedari mereka memiliki minat bersama.
“Saya nampak Khai Zhen melancarkan muzik, jadi saya menghubunginya dan menyarankan agar kami menghasilkan lagu bersama,” katanya.
Sementara itu Ch’ng pula dikenalkan oleh rakan-rakan dan seperti Recta dia turut memberikan cadangan yang sama.
Menyedari mereka serasi bersama, trio itu segera merakam dan melancarkan “Mad at You”, yang lebih berjaya daripada yang mereka jangkakan.
Stesen radio mengundang mereka untuk sesi wawancara dan kejayaan ini mendorong ketiga-tiga mereka terus bersama untuk projek akan datang, di mana “Way Up” menjadi buah tangan kolaboratif terbaru mereka.

“Jadi, kami telah memutuskan untuk mencuba rentak musim panas yang lebih tropikal,” kata Ch’ng. “Tahun ini, kami telah memutuskan untuk melakukan sesuatu yang lebih menarik dan lebih ke arah identiti Malaysia.”
“Ia juga cara yang baik untuk memperkenalkan diri,” tambah Yap, “sebagai artis menerusi pendekatan yang lebih besar. Lagu ini menggambarkan bagaimana kami maju bersama, bagaimana kami melakukan yang lebih baik bersama dan bagaimana kami bersinar bersama.”
Bagi trio ini, “komuniti mengatasi persaingan” adalah lebih penting, bagi mereka, artis lain bukan pesaing yang bersaing tetapi orang yang disatukan oleh muzik.
Masing-masing mempunyai peranan untuk dimainkan secara dinamik, di mana Yap bertanggungjawab ke atas proses produksi sementara Ch’ng mengendalikan vokal dan Rectra liriknya.
Ketiga-tiga mereka bersama-sama menghasilkan lagu-lagu mereka, dan untuk “Way Up” sahaja, beberapa bulan diperlukan untuk menyelesaikan semuanya.
Sepanjang perjalanan ini, sokongan yang diterima dari keluarga sangat-sangat berharga, di mana ketiga-tiga mereka mendapat restu ibu bapa hasil pencapaian kerjaya muzik mereka setakat ini.
“Ibu bapa saya tidak tahu saya menghasilkan muzik,” kata Rectra. “Saya mula menghasilkan muzik pada tahun 2018 dan hanya berkongsi tentangnya setahun kemudian.”
“Agak mengejutkan, mereka benar-benar menyokong apa yang ingin saya lakukan. Mereka sering berkongsi muzik saya dengan ahli keluarga lain, dan berkata, “Langganlah saluran anak saya!” Ia sangat memberi inspirasi. ”
Bagi kumpulan ini, menjadi artis di era Internet adalah sesuatu yang luar biasa, memandangkan bagaimana ia membolehkan mereka mendekati masyarakat di seluruh Malaysia.
Bagi kumpulan ini, menjadi artis di era Internet adalah sesuatu yang luar biasa, memandangkan bagaimana ia mampu menjangkau masyarakat di seluruh Malaysia.
“Tidak kira usia, bangsa anda, semua orang berada dalam talian sekarang. Ia memberi kesan yang besar kepada dunia muzik, manusia, artis dan pemuzik,” kata Yap.

Berkat kewujudan Internet, lagu-lagu mereka telah dipromosikan kepada pendengar di seluruh negara, di mana tambah Ch’ng adalah penting untuk membina dan berinteraksi dengan komuniti dalam talian.
Tambah Rectra jika tidak kerana Internet, ketiga-tiga mereka mungkin tidak pernah berinteraksi dan tidak akan pernah berpeluang untuk bekerjasama!
Jadi, apa perancangan terbaru trio ini sekarang? Yap tetap berminat untuk meneruskan kerdjaya muzik sepenuh masa, sementara Rectra masih belum memutuskan perkara itu, walaupun minatnya terhadap muzik tetap teguh.
“Muzik mendorong saya,” kata Yap. “Ia membentuk siapa diri saya kini. Ketika mula menghasilkan muzik, saya tahu inilah yang saya mahukan, inilah yang saya suka, inilah yang ingin saya lakukan sepanjang hayat saya.”
Bagi Ch’ng, muzik adalah alat penyembuhan yang membantu menenangkan fikirannya. “Apabila anda mendengarkannya, semua kerisauan dan kesakitan anda, akan terhapus.”
“Muzik sangat penting dalam kehidupan seharian saya,” kata Rectra. “Saya tidak dapat melalui satu hari tanpa mendengar muzik. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan kami sekarang.”
Akur dengan dengan semua cabaran yang menanti dalam perjalanan muzik mereka, ketiga-tiganya siap untuk menempuh apa sahaja yang mendatang.
“Saya percaya jika anda merasakan perkara itu sesuai untuk anda, ia tepat untuk anda,” kata Yap. “Kami akan terus melakukannya dan suatu hari nanti, kami mungkin berada di tempat yang kami impikan.”
Mari sokong artis muda tempatan berbakat dengan impian besar ini! Saksikan sendiri “Way Up” dengan mengklik di sini!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]