
Selepas lebih sebulan mendapatkan rawatan pramatang di hospital, akhirnya kenderaan MPV yang membawa pulang Ayash Affan tiba di tempat letak kereta kediaman pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu.
Menerusi satu perkongsian video, Shuib artis pemilik nama Shahmira Muhamad dilihat melangkah keluar dari kenderaan sambil mendakap erat anak bongsunya yang berusia sebulan lebih itu.
“Budak-budak ni memang excited tunggu Ayash balik,” katanya sebelum melangkah ke dalam lif.
Setibanya di muka pintu, anak-anak Shuib dilihat melompat gembira sambil disambut dengan bacaan selawat ke atas Nabi SAW.
Turut kelihatan bapa arwah Siti Sarah, Raissuddin Hamzah dan beberapa lagi keluarga terdekat yang menanti penuh keterujaan.
Biarpun gembira dapat melihat cucu barunya dan gelagat cucu-cucunya yang lain teruja dengan kepulangan adik mereka, terpancar riak hiba di wajah penyanyi veteran itu.
Namun, enggan terlalu jauh hanyut dalam kerinduan Raissuddin terus mengiringi Ayash ke bilik bersama cucu-cucunya yang lain.
Dalam perkongsian berbeza di Instagram shuibsepahtu, dia dilihat memuat naik beberapa gambar sedang mendukung Ayash bersama tiga anaknya yang lain.
Kongsi Shuib, kepulangan Ayash ibarat hadiah yang paling istimewa bersempena ulang tahun kelahiran arwah isterinya, Siti Sarah.
“Alhamdulillah. Hadiah Hari Jadi Ibu. Daripada Ibu. Selamat Hari Jadi Ibu,” tulis Shuib yang menyambut ulang tahun kelahiran arwah isterinya pada 15 September.
Pasangan selebriti itu mendirikan rumahtangga pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzakira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, 1 bulan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]