
Remy yang berkongsi kegembiraan tersebut di Instagram miliknya dengan memuat naik sebuah video menjunjung kasih atas kiriman tersebut.
“Patik dan isteri merafak sembah menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah atas hadiah perkahwinan daripada Istana Negara kepada kami berdua.
“Kami mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat serta limpah kurnia Allah buat Tuanku dan Tunku,” tulisnya.
Jelas, penerimaan kiriman tersebut turut mengujakan warganet yang rata-rata ingin tahu apakah isi kandungan kotak berwarna kuning kiriman Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu.
“Untungnya dapat hadiah dari Agong. Bukalah nak tengok dapat apa please,” tulis seorang warganet.
“Wah, apa kat dalam tu?” kata seorang lagi.
Rata-rata mengucapkan tahniah malah ada yang mengusik pelakon ‘Lelaki Kiriman Tuhan’ itu dengan mengatakan dia mempunyai peminat hingga dari Istana dan pasangan tersebut adalah golongan istimewa.
“Subhanallah, Istana pun minat abang Remy dan mendoakan kalian. Syukur Alhamdulillah. Semoga hingga ke Jannah kalian berdua,” ungkap satu komen.
“Wah dapat hadiah daripada Agong. Bukan ‘kaleng-kaleng’ (bukan biasa-biasa). Tahniah kepada kalian berdua,” tulis seorang lagi netizen.
Namun, hingga kini, pasangan ini masih belum berkongsi isi kandungan kiriman tersebut kepada umum.
Remy Ishak dan isterinya, Ezza Yusof selamat dinikahkan Sabtu lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur dalam majlis yang serba ringkas dan mematuhi ‘prosedur operasi standard’ (SOP).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]