
Jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pasu, Gombak selepas waktu Zohor kira-kira pukul 1.38 tengah hari tadi.
Pelawak dan usahawan Shuib menunaikan permintaan arwah isterinya, Siti Sarah yang pernah meminta agar dia disemadikan bersebelahan pusara ibundanya, Nur Aini Mohamad di situ.
“Selama ini kalau kami bersembang mengenai hal kematian, dia akan menyebut ingin dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya,” ujar Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37.
Menurut Shuib, dia reda dengan pemergian isterinya dan berjanji akan menjaga kesemua cahaya mata mereka dengan baik.
“Saya reda dengan pemergian isteri saya dan selepas ini cabaran saya adalah untuk memaklumkan ketiadaan Sarah kepada ketiga-tiga anak kami,” ujarnya.
Jelas Shuib lagi, dia dan tiga orang anak-anak mereka sempat membuat panggilan video terakhir bersama Sarah yang sedang nazak di hospital dengan bantuan doktor dan jururawat malam tadi.
“Saya buat panggilan video agar anak-anak dapat melihat ibu mereka dan saya nampak linangan air mata di pipi Sarah seolah-olah dia faham yang kami sedang bersembang mengenainya.
“Selepas anak-anak tidur malam tadi, saya pergi ke hospital usai selesai bacaan Yasin dan doa, tetapi saya tidak dibenarkan bertemu dengannya lalu saya berpatah balik ke rumah,” ujar Shuib.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin di Unit Rawatan Rapi (ICU), di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.
Dalam pada itu, pemergian Siti Sarah Raissuddin sememangnya dirasai ramai, bukan sahaja kepada keluarganya, sahabat handai dan rakan-rakan artis tetapi seluruh masyarakat yang rata-rata turut bersedih.
Malah, sejak berita Sarah dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu kerana batuk yang teruk dan penurunan tahap oksigen akibat dijangkiti Covid-19, pelbagai kisah kebaikan Sarah dikongsi ramai ketika hayatnya.
Ini termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang berkongsi kisah tersebut di Instagram miliknya.
Menurut Nadir, dia dihubungi Sarah beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Adha bertanyakan mengenai ibadah korban di sana sebelum Sarah mengatakan hasrat untuk mengorbankan seekor lembu di Gaza.
“Saya terkejut bila dia maklumkan ingin korbankan seekor lembu yang di sana berharga belasan ribu ringgit. Seolah dia sedang mengejar kebaikannya yang terakhir,” ungkapnya.
Tulis Nadir lagi, selepas urusan korban selesai, Siti Sarah kerap menghubunginya bertanyakan mengenai keadaan penduduk di Palestin.
“Rupanya Allah telah takdirkan, nyawanya diambil dalam keadaan dia memikirkan nasib umat malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.
“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat,” tulisnya.
Siti Sarah, Shuib dan tiga anak mereka disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka positif wabak itu.
Pasangan selebriti ini mendirikan rumahtangga pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzakira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, 4 hari.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].