
Aksi aktres jelita Azar Azmi membantu menukar tayar kereta pelakon Zarina Zainuddin yang pancit dalam perjalanan membawa anaknya ke sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengundang pujian warganet.
Kecekapan pelakon drama Derita Untuk Bahagia itu menukar sendiri tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Zarina turut mengundang rasa kagum di media sosial kerana tidak ramai wanita yang mampu melakukannya.
Dalam satu hantaran video di akaun rasmi Instagram milik Zarina, pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi, 32, dilihat menukar sendiri tayar kenderaan jenis MPV yang tersadai di tepi jalan akibat pancit.
“Alhamdulillah semasa tayar kereta saya pecah @azarazmi menghubungi saya. Katanya, akak tak mengapa, akak pergi uruskan vaksin dulu biar Azar tengokkan kereta akak,” kata Zarina dalam perkongsiannya.
Jelas Zarina, bukan setakat mengawasi kereta itu malah dia sanggup datang ke lokasi, membuka tayar, membawanya ke kedai tayar sebelum kembali dan menukarkan tayar baharu.
“Akak sampai je kereta dah siap, Brutal betul budak perempuan buka tayar kereta ni,” katanya yang cukup menghargai budi baik Azar yang hanya minta dibuatkan pulut kuning sebagai balasan.
Difahamkan ketika kejadian Zarina membawa bersama salah seorang anak kembarnya, Azil manakala Azal dibawa suaminya terus ke PPV.
Setakat ini, video tersebut telah dilihat lebih 217,000 kali dan menerima lebih 21,000 tanda suka.
Selain pujian dan kekaguman ada juga warganet yang mempersoalkan keutamaan Zarina dalam perkongsian terdahulu kerana dilihat lebih sibuk memuat naik video berbanding mencari bantuan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]