
Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings melancarkan program Bantuan Prihatin 2021 bagi membantu 1,500 keluarga yang terkesan akibat wabak Covid-19.
Inisiatif tersebut mensasarkan kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Lembah Klang.
“Bantuan ini memfokuskan kepada penyediaan barangan keperluan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan boleh dimohon oleh keluarga di Selangor dan Kuala Lumpur.
”Kami akan mengusahakannya secara berperingkat dengan mensasarkan kira-kira 1,500 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini supaya dapat dibantu sepanjang PKP dan PKPD dilaksanakan.
“Pihak kami berharap program bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang terjejas dalam situasi sekarang terutama yang mempunyai anak kecil,” katanya.
Pada masa sama, Siti yang juga pengasas merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd berterima kasih kepada beberapa syarikat yang sudi bekerjasama dan menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin.
Program amal ini turut disertai oleh syarikat Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn Bhd, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn Bhd.
“Saya berharap agar lebih banyak lagi pihak yang berminat menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin supaya program bantuan ini dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu tidak ketinggalan meluahkan perasaan terharu melihat keprihatinan seluruh rakyat yang sentiasa bersatu ketika berdepan sebarang dugaan.
“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti dan saya terharu dengan sikap prihatin ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.
“Hari ini kita terus kuat dan bersatu untuk menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya,” jelas penghibur berusia 42 tahun itu.
Program bantuan ini dibuka kepada keluarga memerlukan yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah, dan hanya diwakili sama ada suami atau isteri.
Mereka yang ingin memohon Bantuan Prihatin 2021, boleh berbuat demikian menerusi permohonan di aplikasi Google Form.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]