Kereta Ford Puteri Diana dilelong pada harga RM298,710

Kereta Ford Puteri Diana dilelong pada harga RM298,710

Kereta yang menjadi hadiah pertunangan daripada Putera Charles itu berjaya dilelong melebihi harga jangkaan syarikat lelong.

Diana kelihatan sering memandu kereta Ford ini ketika hubungannya dengan Charles masih bahagia.

Sebuah kereta yang pernah dihadiahkan Putera Charles kepada Puteri Diana sempena pertunangan mereka, berjaya dilelong pada harga 52,000 pound (RM298,710).

Harga yang dibida bagi kereta jenis Ford Escort Ghia 1981 itu melebihi 21,000 pound (RM124,568) berbanding jangkaan harga sebenar oleh sebuah syarikat lelongan.

Menurut jurucakap syarikat Reeman Dansie, kereta itu diberikan kepada puteri kesayangan ramai itu pada Mei 1981 iaitu dua bulan sebelum pasangan diraja berkenaan melangsungkan perkahwinan.

Kereta yang dilelong itu lengkap dengan nombor pendaftaran asal, cat serta radionya.

“Kereta Ford ini diberikan kepada Puteri Diana sebagai kereta peribadinya ketika hubungan mereka masih bahagia.

“Terdapat beberapa keping gambar menunjukkan dia memandu kereta ini dan pernah duduk di dalam kereta sambil menyaksikan Charles bermain polo,” katanya.

Jurucakap itu berkata, penjual yang tidak didedahkan identitinya adalah seorang wanita yang mengagumi Diana dan dia menyimpannya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa walaupun rakan sendiri.

Kereta sedan itu turut dihiasi dengan patung katak berwarna perak di atas bonet depannya iaitu salinan hadiah diberikan oleh kakaknya, Sarah Spencer.

Jurucakap syarikat lelongan itu menjelaskan, hadiah terbabit adalah sebagai ingatan kepada Diana mengenai perjalanan hidupnya umpama cerita dongeng seorang wanita cantik mencium seekor katak yang bertukar menjadi putera raja.

Bagaimanapun, ia bukan kali pertama kereta milik Diana berjaya meraih pulangan lumayan kerana sebelum ini kereta Audi yang pernah dipandunya juga dijual pada harga 58,000 pound (RM333,134).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.