
Penyanyi genre Pop Punk terkenal, Avril Lavigne, akhirnya membuka akaun rasmi di TikTok dengan membuat naik video pertama lagu popularnya berjudul ‘Sk8er Boi’.
Lagu hit yang pernah popular ketika dia mula mencipta nama di pentas hiburan dunia pada 2000 itu, seolah-olah membawa memori peminatnya kembali zaman remaja.
Biarpun hanya menyanyi mengikut gerak bibir, namun ia berjaya menarik perhatian ramai peminat, lebih-lebih lagi apabila pemain papan selaju terkenal, Tony Hawk turut membuat kemunculan istimewa.
Hawk sempat menunjukkan aksinya bermain papan selaju selama beberapa saat menerusi video pendek berkenaan.
Sehingga kini, video yang dirakam di kediamannya di Malibu, California itu ditonton sebanyak 9.2 juta kali dan mendapat 2.2 juta tanda suka oleh pengguna TikTok.
Dia yang menggunakan akaun @avrillavigne turut membuat penampilan sama sambil mengenakan tali leher belang merah dan biru, baju T tanpa lengan dan seluar pendek hitam.
Bagaimanapun, apa yang lebih menjadi perhatian di kalangan peminatnya ialah penyanyi berusia 36 tahun itu tetap kelihatan awet muda.
Rata-rata mereka tertanya-tanya apabila melihat wajahnya yang tidak dimakan usia sejak mula berkecimpung dalam industri hiburan.
“Dia langsung tidak dimakan usia sejak 2000,” tulis seorang netizen.
“Kenapa dia nampak seperti remaja berusia 19 tahun?” soal seorang lagi netizen.
Lavigne yang sebelum ini lama menghilang daripada industri pernah membuat pendedahan bahawa dia sebenarnya bertarung dengan penyakit Lyme yang boleh membawa maut.
Namun, dia kini bersedia untuk kembali menyanyi selepas kemunculan semula pada 2019 menerusi lagu ‘Head Above Water’ menerima sambutan hangat daripada peminat.
Dia turut mengesahkan akan mengeluarkan album ketujuh pada tahun ini dan perkara itu dimaklumkan kepada seorang peminat yang mengajukan soalan di akaun Instagramnya.
“Ia sudah siap. Akan dikeluarkan tidak lama lagi. Yang pasti, pada musim panas,” balasnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]