
Cristiano Ronaldo terkenal sebagai pemain bola sepak yang begitu serius dalam soal penjagaan kesihatan, diet serta pemakanan sihat.
Ia dapat dilihat apabila bintang Portugal itu mengenepikan dua botol minuman ringan, Coca-Cola yang berada di hadapannya ketika mengadakan sidang akhbar Euro 2020.
Reaksinya jelas kelihatan kurang senang ketika minuman tersebut ditempatkan di situ sebelum dia memegang sebotol air mineral dan meminta mereka di hadapannya meminum air mineral saja.
Baru-baru ini, Ronaldo yang berusia 36 tahun mendedahkan dia berang setiap kali melihat anak lelakinya mengambil minuman ringan seperti itu.
Dia adalah salah seorang pemain bola sepak yang begitu menjaga pemakanan serta rutin senaman dengan baik.
Tahap kecergasan yang tinggi dimilikinya itu membolehkan dia meneruskan kerjayanya di peringkat elit biarpun ketika usianya sudah mencecah 30 tahun.
Sebelum ini, pemain bola sepak terbabit mendedahkan dia menikmati hidangan kecil enam kali sehari terdiri daripada pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran dan protein seperti ikan atau ayam yang dimasak tanpa minyak.
Makanan kegemarannya ialah hidangan klasik Portugis dikenali sebagai Bacalhau à Brás iaitu hidangan ikan kod yang dimasak dengan bawang, kentang dihiris nipis, buah zaitun dan telur.
Dia banyak minum air biasa sepanjang hari dan kadangkala gemar mengambil jus bersama sarapan pagi dan wain ketika makan malam.
Tahun lalu, dia menyuarakan rasa kesal apabila melihat anak lelakinya tidak begitu berminat mengamalkan pemakanan sihat seperti dirinya dan gemar mengambil makanan kurang berkhasiat.
“Mari kita lihat sama ada anak lelaki saya akan menjadi pemain bola sepak paling hebat. Kadangkala dia minum Coca-Cola dan makan kerepek kentang, ia menyebabkan saya berasa marah,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]