
Putera Harry dan Meghan Markle yang mengumumkan kelahiran anak kedua mereka, memilih nama Lilibet ‘Lili’ Diana Mountbatten-Windsor sempena nama timangan moyangnya, Ratu Elizabeth serta memperingati neneknya, Puteri Diana.
Bayi perempuan itu dilahirkan di Santa Barbara Cottage Hospital, California selepas setahun berlakunya konflik antara mereka dengan keluarga diraja Britain.
“Pada 4 Jun, kami dikurniakan dengan kelahiran bayi perempuan, Lili. Dia lebih daripada apa yang mampu kami bayangkan dan kami bersyukur dengan kasih sayang serta doa yang dirasai dari seluruh dunia.
“Terima kasih dengan kebaikan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada keluarga kami,” kata Harry dan Meghan menerusi satu kenyataan ketika membuat pengumuman itu.
Menurut Istana Buckingham, Ratu Elizabeth, bapa Harry, Putera Charles serta abangnya, Putera William dan isteri, Kate amat teruja dengan berita kelahiran itu.
Kelahiran Lilibet itu menggambarkan kehidupan baru mereka yang berpindah ke Amerika Syarikat selepas pasangan itu memilih untuk melepaskan semua tanggungjawab dalam keluarga diraja.
Situasi semakin tegang pada Mac lalu selepas pasangan dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex itu ditemu bual oleh Oprah Winfrey menerusi rancangan bual bicara.
Pasangan itu mendakwa salah seorang anggota kerabat diraja Britain yang tidak dinamakan, membuat satu kenyataan berbaur perkauman selain rayuan Meghan untuk mendapatkan bantuan akibat tekanan hingga ingin membunuh diri, tidak diendahkan mereka.
Meghan yang berusia 39 tahun, berasal daripada keluarga kulit hitam di sebelah ibu manakala bapanya berkulit putih.
Selepas temu bual itu, Harry terus bersikap lantang dengan membuat kritikan secara terbuka mengenai kisah hidupnya ketika waktu kecil sekali gus menyebabkan pergeseran antara keluarga diraja itu menjadi semakin buruk.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]