
Ketika dunia mengecam kezaliman Israel terhadap Palestin, juri program realiti televisyen yang terkenal dengan kritikan pedas, Simon Cowell menarik diri sebagai juri X Factor Israel pada musim akan datang.
Perkara berkenaan disahkan oleh jurucakap Reshet yang menerbitkan program itu bahawa juri veteran terbabit membatalkan penampilannya ‘atas sebab tersendiri’, lapor Variety.
Sebelum itu, khabar angin mengenai penarikan dirinya bertiup kencang sejak minggu lalu apabila Reshet memaklumkan mereka dihubungi wakil Cowell atas dasar keprihatinan berhubung pembabitannya dalam rancangan itu.
Kebimbangan disuarakan susulan keganasan terbaru yang berlaku antara Israel dan Hamas di Gaza namun pada masa itu, Cowell masih belum memuktamadkan keputusannya.
Wakil Cowell bagaimanapun tidak memberi komen lebih lanjut mengenai pembatalan itu.
Minggu lalu, Jewish News memetik satu sumber rapat kepada selebriti itu sambil menyuarakan rasa kecewa kerana tidak dapat menyertai rancangan terbabit disebabkan ‘beberapa alasan’.
Cowell mengalami kecederaan pada bahagian belakangnya akibat terjatuh basikal pada tahun lalu dan berehat seketika daripada sebarang program televisyen untuk menjalani pembedahan serta pemulihan.
Ketika ini, dia muncul sebagai juri menerusi rancangan terbitan NBC, ‘America’s Got Talent’.
Rancangan ‘X Factor Israel’ buat kali pertamanya pada tahun ini memilih penyertaan dari negara itu untuk Pertandingan Eurovision Song 2022 yang akan diadakan di Itali.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa selebriti antarabangsa turut menyuarakan bantahan mereka terhadap keganasan rejim zionis yang menyerang penduduk Palestin dalam tempoh beberapa hari menjelang Aidilfitri.
Antara bintang terkenal itu termasuk Bella dan Gigi Hadid, penyanyi Dua Lipa, Riz Ahmed, Viola Davis, Mark Ruffalo, The Weeknd serta supermodel, Halima Aden.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]