Bella Hadid terus lantang pejuangkan Palestin

Bella Hadid terus lantang pejuangkan Palestin

Model terkemuka itu juga antara selebriti yang turun padang membantah tindakan kejam zionis.

Bella sewaktu menyertai perarakan protes membantah tindakan kejam rejim Israel.

Situasi menimpa Palestin yang terus dibedil Israel dan meragut nyawa mereka yang tidak berdosa merobek hati masyarakat Islam seluruh dunia. Begitu juga selebriti di dalam dan luar negara, ramai yang bersatu mengutuk kekejaman itu.

Model terkemuka Bella Hadid juga antara selebriti yang turun padang membantah tindakan kejam rejim zionis.

Menerusi rakaman Instagram Live, Bella dilihat menyertai perarakan protes tersebut sambil melaungkan, “Palestine will be free!”

Malah, beberapa hari sebelum ini, dia turut memuat naik gambar, video serta kenyataan mengenai Palestin.

“Ini adalah mengenai KEMANUSIAAN, bukan mengenai agama! Ini mengenai kebebasan di Palestin”, tulisnya dalam satu kenyataan di akaun Instagramnya.

“Saya berdiri bersama anda saudaraku Palestin. Saya akan melindungi dan menyokong anda sebaik yang boleh. Saya sayang anda. Saya rasai kesengsaraan yang anda hadapi. Saya turut menangis untuk anda. Saya harap, saya boleh mengambil semua kesakitan anda.

“Kesakitan seorang ayah yang tidak dapat memeluk isteri dan anaknya lagi. Kesakitan seorang ibu yang terpaksa mengebumikan anaknya sebelum dapat melihat dia membesar. Anak-anak yang sepatutnya menjadi artis, doktor tetapi tidak pernah mendapat peluang pembelajaran atau perhatian yang seharusnya mereka miliki.

“Kepada semua ibu bapa yang telah membina kediaman untuk keluarga mereka yang tidak akan dapat mereka tinggal lagi, saya melihat anda. Saya mendengar anda. Saya menangis untuk anda dan saya juga dalam kesakitan untuk anda” tulisnya.

Sejak dikenali, kakak kepada Gigi Hadid ini sentiasa dilihat lantang bersuara apabila memperkatakan tempat kelahiran bapanya itu.

Menurut Bella, bapanya Mohamed Hadid merupakan seorang usahawan yang lahir di Palestin. Perkahwinan kedua ibu bapanya telah diadakan di Nazareth, Palestin pada 1941.

Seluruh keluarganya berasal dari Palestin namun mereka dihalau dari bumi Palestin pada 1948 dan menjadi pelarian di Syria kemudian Lebanon serta Tunisia.

“Saya cintakan keluarga saya. Saya cintakan keturunan saya. Saya cintakan Palestin. Saya akan sentiasa berdiri teguh untuk menyokong mereka. Untuk sebuah dunia yang lebih baik buat mereka dan masyarakat di sekeliling mereka. Mereka tidak boleh memadam sejarah kami. Sejarah adalah sejarah!” tulisnya lagi.

Ramai pengguna sosial media, khususnya peminat Bella memuji tindakan wanita tersebut yang menggunakan pengaruhnya untuk memberi kesedaran kepada dunia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.