Muzium Madame Tussauds pindahkan patung Harry dan Meghan dari House of Windsor

Muzium Madame Tussauds pindahkan patung Harry dan Meghan dari House of Windsor

Patung mereka kini dipamerkan bersama selebriti terkenal lain dan tidak lagi ditempatkan bersama House of Windsor.

Harry dan Meghan ketika ditemubual Oprah baru-baru ini. (Gambar Reuters)

Selepas setahun berundur secara rasmi daripada tugas diraja dan berpindah ke Los Angeles, Amerika Syarikat, patung lilin Putera Harry dan isteri, Meghan Markle kini tidak lagi ditempatkan bersama House of Windsor di Muzium Lilin Madame Tussauds di London.

Patung terbabit sebaliknya dipindahkan ke zon tarikan Hollywood untuk dipamerkan bersama beberapa selebriti terkenal lain.

Pasangan yang dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex itu meninggalkan tugas diraja untuk hidup berdikari dengan kerjaya baru.

Selain itu, mereka turut menandatangani kontrak untuk menyediakan kandungan kepada Netflix, Spotify dan Apple.

“Madame Tussauds London sudah memindahkan patung lilin Putera Harry dan Meghan kepada zon Parti Anugerah untuk menggambarkan penghijrahan mereka dari Frogmore ke Hollywood,” kata kenyataan muzium itu yang merujuk bekas kediaman pasangan itu, Fogmore Cottage.

Akhir bulan ini, satu siri dokumentari televisyen mengenai kesihatan mental yang dihasilkan oleh Harry dan ratu rancangan bual bicara, Oprah Winfrey akan ditayangkan menerusi Apple TV+.

Menjelang tayangan itu, Harry muncul dalam podcast ‘Armchair Expert’ dihoskan oleh pelakon, Dax Shephard di mana dia menganggap dirinya sebagai ‘kerabat diraja’ bagi rancangan ‘Truman Show’.

Dia turut menceritakan mengenai kali pertama mula keluar dengan Meghan bahawa mereka bertemu di pasaraya untuk mengelakkan daripada diburu paparazzi.

Katanya, dia kini menikmati kebebasan yang sebenar selepas berpindah ke California terutama untuk menjalani kehidupan bersama anak lelaki, Archie.

“Berpindah ke sini seolah-olah terasa beban itu hilang, begitu juga dengan Meghan. Anda boleh berjalan-jalan di sini dengan rasa bebas.

“Saya juga boleh membawa Archie keluar sambil menaiki basikal. Saya tidak pernah berpeluang melakukan itu semua sebelum ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.