
Buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun, orang ramai berpeluang melihat gaun pengantin Puteri Diana apabila ia akan dipamerkan secara umum tidak lama lagi.
Gaun terkenal itu bakal dipamerkan di Istana Kensington pada Jun depan selepas kedua-dua anaknya, Putera William dan Putera Harry bersetuju untuk meminjamkannya.
Gaun yang dipakai dalam majlis perkahwinan dengan Putera Charles di St Paul’s Cathedral, London pada 1981 itu mencuri perhatian dunia apabila ia mempunyai ekor sepanjang 7.6 meter iaitu terpanjang dalam sejarah diraja.
Rekaan David dan Elizabeth Emanuel itu dihiasi dengan labuci pada bahagian ekor serta renda antik Carrickmacross yang pada asalnya kepunyaan moyang mentua Diana, Ratu Mary.
“Bahagian leher gaun yang lembut dan bahagian lengan yang kembang menjadi satu gaya dipopularkan Puteri Diana ketika awal 1980an,” kata Historic Royal Palaces (HRP) ketika mengumumkan pameran itu.
Menurut HRP, gaun itu disimpan oleh dua anaknya yang meminjamkannya kepada pihak istana untuk tujuan pameran.
Pameran diberi nama ‘Royal Style in the Making itu’ cuba menampilkan hubungan antara pereka fesyen dengan pelanggan mereka terdiri daripada kerabat diraja Britain.
Ia akan turut mempamerkan fabrik unik daripada gaun pertabalan Ratu Elizabeth pada 1937 iaitu bonda Ratu Elizabeth II dan permaisuri kepada Raja George VI.
Gaya fesyen Diana sentiasa menjadi perhatian peminatnya serta pihak media sama ada ketika atau selepas berkahwin dengan Charles terutama keindahan rekaan gaun terkenal itu yang membuatkan peminat diraja Britain berasa kagum.
Beberapa pakaiannya pernah dilelong sebelum ini termasuk gaun seperti watak puteri Disney yang juga dihasilkan oleh pereka sama kegemarannya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]