‘Anakanda’ istimewa untuk Afwa

‘Anakanda’ istimewa untuk Afwa

Lagu berentak inang ciptaan Siti itu akan dimuatkan ke dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April lalu.

Siti mencipta lagu Anakanda bagi menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki.

Malam tadi jam 9 malam Dato’ Sri Siti Nurhaliza, 42, telah melancarkan lagu terbaharunya berjudul ‘Anakanda’ di saluran YouTube bersempena kelahiran puteranya pada 19 April lalu.

Lagu berentak inang itu merupakan ciptaan Siti sendiri dan lirik oleh Rozisangdewi yang akan dimuatkan ke dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April lalu.

“Siti mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham untuk anak yang bakal dilahirkan. Pilihan rentak inang adalah bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album kanak-kanak klasik, Legasi yang diterbitkan oleh Pown Hasril,” ujarnya.

Menurut Siti, Anakanda adalah lagu terakhir yang dirakam untuk album Legasi.

“Bila saya memutuskan untuk memasukkan lagi Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta satu lagu khas dan baru untuk anak yang bakal dilahirkan nanti,” katanya lagi.

Jelas Siti, Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki di samping ingin menerapkan nilai bertanggung jawab terhadap orang sekeliling.

“Anakanda bukan hanya satu bentuk harapan yang dilagukan saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahaya mata,” ujarnya.

Beberapa tahun lepas, lagu Comel Pipi Merah nyanyian beliau ditujukan khas buat anak perempuannya, Siti Aafiyah pernah menjadi ‘trending’ di seluruh Malaysia.

Sebelum itu, Siti turut berkongsi wajah dan nama anak keduanya iaitu Muhammad Afwa yang membawa maksud keampunan atau kemaafan.

“Muhammad Afwa lahir pada bulan Ramadan, bulan keampunan dan di dalam doa malam Lailatul Qadar juga ada menyebut afwa.

“Afwa melengkapkan afiyah dan terdapat di dalam doa yang saya dan suami pilih iaitu doa yang saya muat naik di atas. Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa di dalam keampunan dan kemaafan Allah s.w.t dan kita semua juga di dalam lindunganNya,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.