Rating Nur teruk di Indonesia, bertahan hanya 1 episod

Rating Nur teruk di Indonesia, bertahan hanya 1 episod

Drama bersiri popular di Malaysia itu gagal mendapat tempat di hati penonton Indonesia

Drama bersiri Nur yang pernah mencetus fenomena di Malaysia.

Entah apa yang tidak kena, drama bersiri popular, Nur yang menjadi fenomena luar biasa di Malaysia pada 2018 hanya disiarkan satu episod saja di saluran televisyen Indonesia, MNCTV.

Kegagalan drama terbabit untuk mencipta fenomena sama di negara seberang hangat dibincangkan oleh netizen yang hairan apabila episod keduanya digantikan dengan sinetron.

Nur yang pernah meraih 10 juta tontonan di negara ini, mula disiarkan pada 13 April lalu selama sejam ketika waktu perdana di Indonesia.

Ia bermula 4.30 pagi Waktu Indonesia Barat (5.30 pagi waktu Malaysia) iaitu tempoh yang mempunyai bilangan penonton paling tinggi.

Slot siaran drama itu juga mempunyai paling banyak iklan ditayangkan dalam semua program ke udara ketika lebih 200 juta umat Islam di sana sibuk bersahur.

Seorang netizen dikenali sebagai Guntur mendakwa, drama terbabit mendapat rating yang rendah dan ditamatkan tayangannya oleh stesen televisyen berkenaan.

“Rating (penarafan) rendah, automatik ditamatkan oleh stesen TV, persaingan program TV di Indonesia sememangnya begitu,” tulisnya.

Menurutnya, ia bukan satu perkara pelik untuk stesen televisyen menghentikan tayangan disebabkan kurang sambutan.

Manakala seorang lagi netizen yang pernah bekerja di sana mendakwa, rakyat Indonesia secara umum tidak menggemari drama Malaysia.

“Sebabnya mudah, orang Indonesia kemungkinan besar tidak berminatlah cerita siri macam tu bahkan drama kita di sana secara jujur bukanlah laku pun,” tulisnya yang menggunakan nama Fazrien97.

Bermula 20 April lalu, drama Nur sudah digantikan dengan drama baru bertajuk Kembaranku Membuka Jalan Hijrahku.

Drama terbitan syarikat produksi Radius One itu diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin dan dibintangi Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azhan Abdul Rani dan Noorkhiriah Ahmad.

Sementara itu, seorang lagi netizen menggunakan nama Batman dari Johor turut terkejut dan mempersoalkan pemilihan waktu tayangan ketika bersahur.

“Ya, waktunya memang bertaraf perdana di Indonesia, tetapi di Malaysia waktu sahur pula dianggap waktu tidur bagi kebanyakan umat Islam,” tulisnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.