Soo Wincci terus berpuasa, Alvin pesan jangan tinggal solat

Soo Wincci terus berpuasa, Alvin pesan jangan tinggal solat

Penyanyi dan pelakon Malaysia yang bukan beragama Islam turut meraikan Ramadan dengan berpuasa bersama-sama umat Islam seluruh dunia.

Soo Wincci and Alvin Chong antara selebriti bukan Islam di Malaysia yang turut sama berpuasa. (Gambar Instagram)

Seperti Ramadan tahun sebelum ini, penyanyi dan pelakon, Dr Soo Wincci tetap meneruskan amalan berpuasa dan tahun ini merupakan tahun ke-10 baginya.

Selebriti berusia 36 tahun itu kelihatan tetap bersemangat untuk bersama-sama menyertai umat Islam lain menjalani ibadah berpuasa.

Dia yang kini berada di Sepanyol sempat memuat naik sekeping gambar swafoto di akaun Instagram yang mengucapkan selamat bersahur kepada semua pengikutnya.

Soo Wincci tetap cekal menempuh waktu berpuasa yang lebih panjang di negara asing itu iaitu kira-kira 16 jam hingga 18 jam.

Sebelum ini, selebriti terbabit pernah dilaporkan berkata, dia mendapat pelbagai nikmat hasil daripada meneruskan amalan berpuasa.

Katanya, puasa menjadikan mindanya lebih ringan sekali gus memudahkannya memberi lebih fokus terhadap perkara lebih penting.

Baginya, dia melihat amalan berpuasa lebih mendatangkan kebaikan serta disiplin buat semua dan bukan untuk orang Islam semata-mata.

Menerusi hantaran berbeza di Instagram, bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu turut berkongsi sekeping gambarnya bersama menu sederhana untuk berbuka puasa.

Ruang komen di akaunnya turut dibanjiri dengan pelbagai komen positif daripada peminatnya.

Kebanyakannya menunjukkan rasa kagum dengan semangat dan kesungguhan Soo Wincci dan tidak kurang juga ramai yang mendoakan semuanya dipermudahkan.

Selain Soo Wincci, seorang lain pelakon Alvin Chong turut sama meraikan Ramadan tahun ini dengan berpuasa.

Walaupun bukan beragama Islam, Alvin menghormati bulan mulia ini dan turut cuba untuk berpuasa.

Alvin yang memuat naik hantaran video di Instagram turut berpesan agar umat Islam tidak meninggalkan solat dan makan kurma.

“Saya sangat suka kurma termasuk susu berperisa kurma. Kita sama-sama berpuasa okay dan tahan,” katanya.

Video berdurasi dua minit 55 saat itu memaparkan Alvin sedang bersahur di rumah rakannya iaitu Puteri Zarith dan mendapat ratusan komen positif dari warganet yang kebanyakannya menyifatkan pesanan Alvin itu adalah terbaik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.