
Buat pertama kalinya, sosialit dan usahawan, Kim Kardashian tersenarai dalam senarai bilionair dunia Forbes yang dikeluarkan pada Selasa lalu.
Dia yang mula mencipta nama menerusi program realiti ‘Keeping Up with The Kardashians’ kini mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$1 bilion (RM4.1 bilion) berbanding AS$780 juta (RM3.2 bilion) pada Oktober lalu.
Sebahagian besar kekayaannya itu disumbangkan oleh dua perniagaan utama, KKW dan Skims selain bayaran daripada program realiti dan menjadi jurucakap beberapa produk serta pelaburan.
Dia sempat meraikan kejayaan itu dengan memuat naik sekeping gambarnya memakai bikini di pantai dengan keterangan gambar bertulis ‘Bliss’ dan mengumumkan pelancaran kedai ‘pop-up’ Skims di Los Angeles,
Status bilionair turut dikongsi oleh Kanye West yang bakal bergelar bekas suaminya tidak lama lagi.
Forbes menganggarkan West mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) yang kebanyakannya hasil pendapatan daripada jualan kasut sneaker Yeezy dan rangkaian pakaiannya.
Pada Februari lalu, Kardashian dilaporkan memfailkan perceraian terhadap West, 43, kerana dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman.
Sementara itu, adik tirinya, Kylie Jenner pula hilang status bilionair, jelas Forbes lagi.
Ia menganggarkan nilai kekayaan dimiliki model dan usahawan kosmetik berusia tahun itu turun kepada AS$700 juta (RM2.9 bilion) berikutan penjualan kosmetik yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Kardashian mengasaskan KKW Beauty pada 2017 dengan mempromosikan dan menjual produk secara atas talian yang dibantu oleh pembabitan secara aktifnya di media sosial yang kini mempunyai 213 juta pengikut di Instagram.
Pada 2019 pula, dia melancarkan produk pakaian dalam dengan jenama Skims.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]