
Majoriti pasti menjawab P Ramlee, Seniman Agung Negara yang telah lama meninggal kita semua namun khazanah karyanya masih tersimpan utuh di dalam sanubari anak Malaysia.
Teuku Zakaria, atau lebih dikenali sebagai P Ramlee, yang juga merupakan seorang penyanyi, pelakon, pemuzik pengarah dan penulis lagu.
Filem-filem lakonannya banyak meninggalkan kesan kepada kita. Dari hitam putih ke layar perak, filemnya tidak pernah ditelan zaman.
Realitinya sehingga kini anak-anak muda turut terkesan dengan dialog-dialog istimewa melalui filemnya.
Tetapi siapakah sebenarnya P Ramlee?

Soalan yang hanya sesuai dijawab oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Khan bin Nawab Khan, atau dikenali sebagai Ahmad Nawab. Komposer berusia 88 tahun ini telah mencipta lebih 2,000 buah lagu dan menerima Anugerah Seniman Negara pada 2006.
Pernah mendengar lagu iklan “Malaysia Truly Asia”?
Itu adalah hasil kerja Ahmad Nawab dan dia sendiri mengawasi rakaman tema lagu Pelancongan Malaysia itu dalam 17 bahasa.
Walaupun, sejarah kariernya tidaklah begitu berwarna-warni, namun dia telah bekerjasama dengan ramai bintang hiburan di Malaysia termasuklah Allahyarham Sudirman, Saloma dan tentu sekali, P Ramlee.
Mac 22 adalah hari ulang tahun kelahiran Allahyarham P Ramlee yang ke-92 tahun, Allahyarham telah meninggal dunia di usia 44 tahun.
Mengimbau kenangan bersama P Ramlee, Ahmad Nawab membuka cerita bahawa mereka berdua berasal dari Pulau Pinang dan belajar di Francis Light English School yang mana Ahmad Nawab adalah empat tahun lebih muda dari P Ramlee.

“Pada masa itu, orang tidak kenal siapa P Ramlee sebab dia belum lagi menjadi bintang filem. Kemudian, bila dia ke Singapura dan menjadi pelakon barulah ramai yang mengenali beliau,” ujar Ahmad Nawab.
Sementara P Ramlee mengasah bakat lakonannya, Ahmad Nawab menuntut ilmu dalam bidang muzik dari ayahnya sambil bekerja di kelab malam sebagai pemuzik untuk menyara hidup.
Mereka kemudian bertemu di Kuala Lumpur apabila P Ramlee menubuhkan studio di Merdeka Filem di Ampang.
“Kami bertemu pada 1964. Dia panggil saya dan berkata, ‘Boleh tolong saya? Saya bikin filem di sini dan saya tidak punya kawan, boleh tolong saya,’” cerita Ahmad Nawab.
P Ramlee memerlukan seorang komposer yang berupaya mengarahkan skor filemnya dan secara kebetulan, Ahmad Nawab adalah orang yang terbaik untuk menjalankan tugas tersebut.
“Setiap minggu, saya akan bertemu dia. Kami berborak sebagai kawan, bukan sebagai pelakon.
“Dia tahu saya adalah penulis lirik dan dia meminta saya mengarang untuk filemnya,” ujanya lagi.

Oleh itu, Ahmad Nawab bekerja dengan P Ramlee untuk filem klasiknya Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Sesudah Suboh.
Menurut Ahmad Nawab, di dalam filem Masam-Masam Manis, P Ramlee membawakan watak sebagai pemain saxophone dan ianya adalah memek dari rakaman muzik Ahmad Nawab.
“P Ramlee adalah pelakon yang sangat berbakat tetapi dia tidak boleh bermain saxophone. Beliau boleh bermain violin dan piano tetapi bukan saxophone,” ujarnya.
Kata Ahmad Nawab, dia masih ingat bagaimana sahabatnya itu berterima kasih di atas bantuannya.
Menariknya, di luar layar P Ramlee adalah seorang yang sukakan kehidupan persendirian dan suka menghabiskan masa di rumah.
“Beliau adalah seorang sahabat yang sangat baik dan bijak. Dia suka bikin filem untuk semua orang,” ujar Ahmad Nawab.
Menurutnya lagi, filem-filem P Ramlee diilhamkan dari perbezaan kebudayaan di Malaysia sehingga menjadikan ia begitu menarik dan tidak lapuk di telan zaman.
“Apabila anda menonton filem P Ramlee, anda sentiasa mahu menonton lagi dan lagi, seperti tidak puas. Tetapi kalau filem lain tidak begitu, sekali sudah cukup,” katanya.

Selain P Ramlee, Ahmad Nawab turut bekerjasama dengan Saloma sebelum Biduanita Negara itu berkahwin dengan P Ramlee. Malah, dia masih ingat bagaimana bahagianya kedua pasangan ini.
Namun hingga kini, Ahmad Nawab masih tidak dapat melupakan satu perkara yang sentiasa membelenggunya iaitu perbualan sebelum kematian P Ramlee yang berlaku semasa mereka mengadakan persembahan muzik.
P Ramlee telah menjemput Ahmad Nawab untuk menonton persembahan muzikal bersamanya dan semasa persembahan tersebut satu soalan keluar dari mulut P Ramlee.
“Awak fikir orang masih ingat kepada saya? Saya jawab, ‘Mestilah orang akan ingat kerana kamu adalah seorang yang sangat istimewa.’ Sehingga hari ini, saya boleh lupa soalan dari dia.
“Tidak akan ada seorang lagi P Ramlee,” kata Ahmad Nawab.
“Bakat adalah anugerah Allah, walau orang boleh meniru gayanya, ia tidak akan menjadi sama. Hanya ada satu P Ramlee saja,” ujarnya.
“Allah berikan dia semuanya, saya percaya, dia adalah lelaki yang hebat dan sangat berbakat. Sebagai anak Malaysia, kita semua patut bangga kepada P Ramlee.
“Dia adalah seorang pelakon, pengarah, komposer dan penyanyi yang hebat. Tiada siapa yang boleh menjadi seperti seniman P Ramlee,” akhiri Ahmad Nawab.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]