KRU Music ‘sunting’ Warner Music jalin kolaborasi

KRU Music ‘sunting’ Warner Music jalin kolaborasi

KRU Music jalin kerjasama dengan Warner Music untuk buka peluang lebih luas kepada barisan artis baru di bawah naungan mereka.

KRU Music mengadakan kolaborasi dengan Warner Music dan ADA (anak syarikat Warner Music) sebagai langkah untuk membuka ruang lebih luas kepada barisan artis barunya untuk diketengahkan ke pasaran serantau dan antara bangsa.

Barisan artis baru di bawah naungan mereka ketika ini ialah Dian Hashim (Pop), Fai Ramli (Pop), DJ Fateh (Hip Hop) dan Timur (Pop/Dance).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim berkata, ia menjadi fokus mereka untuk menumpukan terhadap genre ‘dance’, hip hop dan pop iaitu kembali kepada genre asal yang pernah diketengahkan kumpulan KRU.

Menurutnya, langkah itu juga dilakukan untuk membangunkan kembali label independen mereka terutama selepas salah seorang anggotanya, Edry berpindah ke Manchester.

Katanya, mereka mula mendekati Warner Music sejak tahun lepas lagi sambil mengintai peluang kerjasama untuk melakukan sesuatu yang istimewa dengan KRU Music.

“Kita sebenarnya tidak lupa dengan identiti KRU yang membawakan genre pop dance dan hip hop. Namun sepanjang perjalanan, kami dapati KRU agak terpesong sedikit,

“Sebab itu, fokus kami pada tahun ini ialah menumpukan semula kepada identiti asal dengan barisan artis baru selain memberi peluang besar kepada mereka menembusi pasaran luar.

“Bagaimana pun, kita tidak akan mengabaikan genre lain iaitu islamik tetapi ia dilakukan menerusi sub-label di bawah pengurusan ini. Sebenarnya kita mula ‘tackle’ Warner Music sejak tahun lepas lagi apabila Edry berpindah.

“Selepas itu kami merasakan hilang tonggak utama KRU Music manakala saya dan Yusry ada peranan masing-masing.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan pada masa yang sama kami ingin bangun kembali,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi dengan Warner Music dan ADA.

Hadir sama Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy dan Datuk Yusry Abdul Halim.

Menurut Norman, mereka mahu kembali dengan membawa sesuatu yang istimewa, iaitu artis yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih jauh.

“Kita bernasib baik dapat bertemu dengan artis-artis ini dan kami ingin memastikan mereka mendapat lagu terbaik, sesuai dan menepati trend semasa,” katanya.

Menurutnya lagi, melalui kekuatan Warner Music kerjasama itu dilihat dapat digunakan sepenuhnya bagi memastikan artis mereka mudah dicari penggemar muzik di ratusan platform penstriman video dan muzik.

Memandangkan perkara itu agak sukar untuk dilakukan oleh sebuah label independen dan ia sememangnya memerlukan satu sokongan besar.

“Kita tidak ada banyak platform penstriman seperti Warner Music yang mempunyai hampir 400 platform di seluruh dunia. Sebagai syarikat independen, susah untuk kita mendapat peluang seumpama itu.

“Industri muzik bukan seperti dulu yang kita harapkan peminat membeli cakera padat (CD) dan kaset kerana kini adalah zaman platform penstriman.

“Terdapat kira-kira 15,000 video dimuatnaik di platform ini setiap hari dan kami ingin memastikan penggemar muzik dapat mencari artis kami, sebab itu kita perlukan infrastruktur seperti ini dengan Warner Music,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.