Atu Zero diserang strok haba, rebah selepas solat Isyak

Atu Zero diserang strok haba, rebah selepas solat Isyak

Menurut Shafeeqa, selepas solat Isyak, Atu duduk lama sebelum tiba-tiba pitam dan rebah di depannya.

Atu dibawa ke hospital sejurus rebah tiba-tiba selepas solat Isyak. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Pelawak dan pelakon, Atu Zero, 29, dikejarkan ke hospital malam tadi kerana rebah secara tiba-tiba selepas solat Isyak.

Melalui perkongsian foto dalam Instagram isterinya, Shafeeqa Johari, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif mendapat rawatan di Hospital Pakar KPJ Selangor disebabkan serangan strok haba.

Menurut Shafeeqa, selepas solat Isyak, Atu duduk lama sebelum tiba-tiba pitam dan rebah di depannya.

“Saya terus membawanya ke hospital dan doktor mengesahkan dia terkena serangan strok haba. Kata doktor, badannya kekurangan air disebabkan cuaca panas yang melanda sekarang.

Menurutnya lagi, doktor juga menyatakan strok haba amat merbahaya dan boleh membuatkan badan lumpuh jika tidak dirawat dengan segera.

“Sebelum ini, Atu pun ada mengadu tidak dapat merasa separuh tangannya,” ujarnya.

Jelas Shafeeqa Atu sememangnya seorang suami yang kuat bekerja untuk mencari rezeki dan penuh dengan tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Allah SWT tahu kau berusaha cari rezeki. Dia suruh berehat kejap. Tak mengapa jangan risau sebab ada rezeki lain. Suami yang paling gagah dalam rumah tangga,” ujar Shafeeqa di dalam catatannya.

Atu kini sedang berehat sepenuhnya dan akan kembali bekerja apabila kesihatannya mengizinkan.

Atu merupakan salah seorang ahi kumpulan Zero, dua lagi anggota adalah Syaiful dan Sharif yang juga merupakan abang Atu. Dia juga bergandingan dengan Fad Bocey dan Fakhrul UNIC dalam kumpulan digelar UNI dalam program Muzikal Lawak Superstar musim kedua (MLS2).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.