Selepas 3 dekad, Justin Timberlake mohon maaf kepada Britney Spears

Selepas 3 dekad, Justin Timberlake mohon maaf kepada Britney Spears

Penyanyi akui ‘berdosa’ terhadap bekas kekasih dan Janet Jackson bagi kesilapan di awal kerjayanya.

Timberlake turut memohon maaf kepada Janet Jackson kerana kesilapan ketika mereka membuat persembahan pada Super Bowl 2004. (Gambar AFP)

Kira-kira dua dekad selepas putus cinta dengan Britney Spears, penyanyi Justin Timberlake membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bintang pop itu.

Dalam video dikongsikan di Instagram kelmarin, Timberlake, 40, mengakui ‘jahil’ dengan publisiti dan layanan buruk media terhadap Spears selepas mereka berpisah pada 2002.

Dia turut memohon maaf kepada Janet Jackson kerana kesilapan ketika mereka membuat persembahan pada Super Bowl 2004 sehingga menyebabkan payudara wanita itu terdedah, yang juga mendapat liputan meluas media dan masih menjadi sebutan sehingga kini.

“Saya ingin memohon maaf atas tindakan saya yang menyumbang kepada kesusahan (orang lain), tatkala saya bersuara pada waktu yang tidak sesuai, atau mendiamkan diri ketika sepatutnya mempertahankan orang lain,” katanya.

Ini susulan kecaman peminat dan pengguna internet selepas dokumentari ‘Framing Britney Spears’ mengenai kerjaya seni bintang pop itu, termasuk liputan negatif oleh media.

Peranan Timberlake turut dilihat menyumbang kepada masalah kesihatan mental dihadapi Spears selepas itu, lapor CNN.

“Khususnya, saya ingin memohon maaf kepada Britney Spears dan Janet Jackson kerana menghormati dua wanita ini dan tahu saya yang gagal,” kata bekas anggota kumpulan N’Sync itu.

Bagaimanapun, ada peminat yang menyelar permohonan maaf itu sebagai tidak ikhlas malah ‘tiga dekad terlalu lambat’ selain hanya dibuat selepas pendedahan dalam dokumentari mengenai Spears itu, lapor news.com.au.

Sementara itu, isteri Timberlake, pelakon Jessica Biel menyuarakan sokongan terhadap suaminya menerusi komen “I love you” disusuli emoji ‘hati’.

Pasangan itu berkahwin pada 2012 dan mempunyai dua anak lelaki, Silas, lima serta Phineas yang dilahirkan September lalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.