Selebriti India kecam Rihanna kerana ‘menyibuk’ isu protes petani

Selebriti India kecam Rihanna kerana ‘menyibuk’ isu protes petani

Bintang Bollywood antara mereka yang berang dengan ulasan Rihanna di Twitter

Riihanna dikecam kerana kenyataan mengenai isu protes petani di India. (Gambar AFP)

Selebriti India mengecam bintang pop Rihanna kerana kenyataan di sosial media mengulas protes petani di negara itu.

Dalam pada kerajaan dan petani di India bertelagah sejak dua bulan lalu berhubung undang-undang pertanian baharu negara itu, bintang-bintang Bollywood dan atlet menyelar komen Rihanna di Twitter yang dianggap ‘mencari sensasi’ oleh kementerian luar negara.

Rihanna, yang mempunyai lebih 100 juta pengikut di Twitter berkata, “kenapa kita tidak membincangkan perkara ini?”, dan menyertakan berita mengenai sekatan internet di kem protes yang dihuni puluhan ribu petani negara itu sejak November.

AFP melaporkan, lebih sejuta orang sama ada mengongsikan hantarannya itu, selain ‘like’ dan mengulas.

Aktivis iklim remaja Sweden, Greta Thunberg turut mengongsikan pandangan di Twitter mengenai sekatan internet itu dengan berkata: “Kami bersatu dengan #FarmersProtest di India.”

Kenyataan itu turut disokong Meena Harris, anak saudara Naib Presiden AS yang berketurunan India, Kamala Harris.

Tweet golongan selebriti itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan di India.

Pemain kriket Sachin Tendulkar antara yang pertama bertindak balas dengan berkata, “Kedaulatan India tidak boleh dikompromi. Orang luar boleh menjadi pemerhati, bukan peserta.”

Bintang Bollywood Kangana Ranaut yang juga penyokong tegar perdana menteri Narendra Modi malah menggelar petani yang memprotes itu sebagai ‘pengganas’ dan Rihanna sebagai ‘dungu.’

Pelakon dan pengarah, Anupam Kher, Akshay Kumar, Suniel Shetty serta Karan Johar turut menyelar apa dilihat sebagai campur tangan orang asing.

Sementara itu, pihak berkuasa mengetatkan lagi tekanan di kem protes petani terbabit dengan mendirikan pagar kawat berduri dan meletakkan pacak atas jalan untuk menghalang lebih banyak traktor menyertai protes itu.

Menurut AP, protes itu sebelum ini aman namun bertukar ganas pada Hari Republik India, 26 Jan selepas puluhan ribu petani menaiki traktor keluar dari kumpulan mereka dan menyerbu Kubu Merah yang bersejarah, dalam kejadian yang mengakibatkan seorang daripadanya mati.

Sejak itu pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan di lokasi protes di luar sempadan New Delhi selain mengekang akses untuk internet mudah alih di situ sehingga Selasa.

Rundingan antara keduad-dua pihak masih menemui jalan buntu dengan kerajaan masih enggan membatalkan undang-undang baharu yang menjadi punca kontroversi itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.