
Bintang Terminator Arnold Schwarzenegger menerima vaksin Covid-19 pada Rabu dan dia berkongsi pengalaman tersebut bersama peminatnya di Twitter.
Bekas gabenor California itu berkongsi di Twitter, videonya menerima suntikan itu menerusi tingkap tempat duduk bersebelahan pemandu sebuah kenderaan SUV di Stadium Dodger di Los Angeles.
Tempat letak kereta stadium berkenaan telah diubah suai menjadi pusat suntikan vaksin, lapor ABC news.
“Saya baru disuntik vaksin dan saya menggalakkan semua orang melakukannya,” kata Schwarzenegger kepada kamera selepas mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kesihatan yang menyuntiknya.
Dia kemudian mengakhiri dengan petikan terkenal dari filem Terminator 2: “Come with me if you want to live” (Ikut saya jika anda mahu hidup).
Schwarzenegger yang berusia 73 tahun termasuk dalam kategori berisiko tinggi untuk menerima vaksin berkenaan yang mana Los Angeles hanya memberikan vaksin tersebut kepada penduduknya berusia 65 tahun ke atas, lapor New York Post.
“Hari ini hari yang baik. Saya tidak pernah rasa seseronok ini untuk beratur dalam barisan,” katanya di Twitter.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]