
Pelakon Zahirah MacWilson selamat melahirkan bayi lelaki di Perth, Australia pada Selasa.
Berita gembira itu dikongsikan Zahirah dan suaminya, pelakon Aiman Hakim Ridza di laman Instagram masing-masing.
Keduanya menyifatkan kelahiran bayi sulung mereka sebagai hadiah terbaik pernah mereka terima.
“Alhamdulillah, pada 5 Januari lalu bayi lelaki kami selamat dilahirkan jam 2.26 petang (waktu tempatan). Kami terharu melalui saat indah ini bersama sepanjang dalam bilik bersalin menunggu kelahirannya, sebagai pasangan ibu bapa baharu.
“Ia satu perjalanan terbaik yang penuh dirahmati dan kami sangat teruja untuk menerokai setiap pengalaman untuk detik istimewa ini. Syukur Alhamdulillah,” tulisnya.
Pasangan ini turut memuat naik foto bayi lelaki mereka, namun keduanya masih belum mendedahkan nama serta berkongsi gambar penuh putera sulung mereka buat tatapan umum.
Pada Oktober tahun lalu Aiman dan Zahirah berangkat ke Australia selepas membuat keputusan mahu menyambut kelahiran cahaya mata pertama di Australia dan menjalani tempoh berpantang ditemani ibu Zahirah.
Aiman dan Zahirah mendirikan rumahtangga pada 20 Februari tahun lalu di Petaling Jaya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]