
Nun di bawah permukaan laut, kelihatan percikan lampu kamera sedang merakam ledakan satu kehidupan baru.
Lensa kamera itu giat memfokus sepasang kerapu yang baru mengawan, keluar dari kepulan awan telur dan sperma di Fakarava Atoll, Polinesia Perancis.
Aktiviti mengawan itu sangat jarang dan pantas di mana ia hanya berlaku sekali dalam setahun, selama kira-kira 30 minit, sekitar bulan purnama pada bulan Julai.
Difahamkan, jurugambar Laurent Ballesta menghabiskan masa 3,000 jam semata-mata untuk merakamkan aktiviti itu.
Dan tidak hairanlah, gambar fenomena luar biasa yang dinamakan ‘Creation’ ini meletakkan Ballesta, seorang jurugambar residen National Geographic, sebagai pemenang anugerah berprestij Jurugambar Hidupan Liar Tahun Ini oleh Muzium Sejarah Alam London.
Muzium tersebut menganjurkan pertandingan ini setiap tahun dan turut mempamerkan karya setiap pemenang.
“Imej dinamakan ‘Creation’ itu merakam detik ajaib,” kata ketua panel hakim, Roz Kidman Cox dalam satu kenyataan akhbar.
“Ia begitu mengejutkan, bertenaga dan mengagumkan malah turut membongkar keindahan dunia lain.”
Pengarah muzium, Doug Gurr menyifatkan imej tersebut sebagai peringatan yang jelas tentang apa yang bakal hilang jika kita tidak menangani kesan kemanusiaan ke atas planet kita.
Pertandingan yang memasuki tahun ke-57 penganjurannya itu, meraikan 19 kategori fotografi hidupan liar, termasuk tingkah laku, foto kewartawanan dan potret.
Tahun ini, pertandingan itu menerima sebanyak 50,000 penyertaan daripada jurugambar di seluruh dunia. Juri menghakimi sisi inovasi, naratif dan kemahiran teknikal dalam setiap penyertaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]