
Bayangkan anda tersangkut dalam kesesakan jalan raya dan tiba-tiba terdengar muzik sitar yang mengasyikkan. Sudah semestinya ia suatu pengalaman yang menenangkan.
Menteri Pengangkutan India, Nitin Gadkari baru-baru ini mengemukakan cadangan untuk menggantikan bunyi hon kereta dengan alat muzik seperti seruling, tabla, biola atau harmonium.
Idea itu diketengahkan bertujuan untuk memberikan pengalaman lalu lintas yang lebih menyenangkan.
Gadkari turut mencadangkan bunyi siren ambulans yang menjengkelkan atau kenderaan rasmi kerajaan digantikan dengan alunan merdu yang berfungsi sebagai lagu khas radio di India.
Saranan yang cuba diperkenalkan menteri tersebut banyak manfaatnya. Terdedah secara berterusan kepada bunyi bising lalu lintas dikaitkan dengan kehilangan pendengaran, peningkatan tekanan darah dan degupan jantung, risiko strok dan diabetes yang lebih besar.
Ia turut memberi kesan yang jelas terhadap tekanan dan kegelisahan melampau. Satu kajian yang dijalankan di Denmark dan diterbitkan dalam British Medical Journal mengaitkannya dengan risiko demensia yang lebih tinggi, terutamanya Alzheimer.
Tidak dapat dinafikan India, khususnya, perlu mempertimbangkan isu serius ini dengan segera.
Namun, masalah yang timbul adalah walaupun alat muzik itu paling merdu, mengganggu atau tidak, bergantung sepenuhnya kepada mereka yang menggunakannya.
Sekiranya mereka masih pemandu biasa yang tidak sabar dan sering mencemuh peraturan lalu lintas sedia ada, hasilnya tidak akan berbeza.
Oleh itu, melainkan satu bentuk latihan muzik diwajibkan dalam kursus latihan memandu di seluruh negara, masih belum masanya untuk kesesakan lalu lintas bertukar menjadi dewan konsert awam.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]