Wanita dibenar simpan berlian kuning 4.8 karat dari lombong awam

Wanita dibenar simpan berlian kuning 4.8 karat dari lombong awam

Arkansas adalah satu-satunya negeri di AS yang mempunyai lombong berlian yang dibuka untuk orang awam.

Noreen Wredberg dari Granite Bay, California menemui berlian kuning 4.8 karat itu di Crater Diamond State Park di Murfreesboro, Arkansas. (Gambar Arkansas State Parks)

Untung sabut timbul, untung batu, siapa tahu boleh simpan. Demikian bertuahnya nasib seorang wanita dari California,

Noreen Wredberg yang dibenar memiliki berlian kuning yang ditemuinya ketika melawat Crater Diamond State Park di Murfreesboro, Arkansas.

Menurut jabatan taman negeri, Wredberg menemui berlian seberat 4.8 karat itu pada 23 September lalu hanya selepas sejam mencari.

“Saya tak tahu ia adalah berlian, tapi ia sangat bersih dan bersinar, jadi saya kutip!” kata Wredberg kepada Wymon Cox, seorang pegawai taman di Crater of Diamond.

Dia kemudiannya membawa batu itu ke Diamond Discovery Center, di mana kakitangan di situ mengesahkan ia adalah berlian.

Cox berkata, Wredberg menemui berlian tersebut sehari selepas hujan turun dengan lebat, masa terbaik untuk mencari batu berharga tersebut.

Berlian yang ditemui Wredberg adalah yang terbesar pernah ditemui sejak tahun lalu.

Wredberg menamakannya sebagai Berlian Lucy sempena nama anak kucing suaminya, dan masih tiada sebarang rancangan untuknya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.