
Syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam itu juga meminta agar masyarakat mengubah sifat kelakuan kepada yang lebih positif melalui pengurusan sisa pepejal secara berhemah, melaksanakan Separation at Source (SAS), Reduce, Reuse & Recycle (3R), amalan kitar semula dan turut mengambil tanggungjawab dalam memastikan kebersihan alam sekitar dan negara kita.
“Sebagai syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan terutamanya sewaktu negara sedang dilanda pandemik Covid-19,” kata Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Bin Haji Mohd Nordin.
Tambah beliau lagi, cabaran utama sejak 64 tahun kemerdekaan ini adalah untuk membentuk pemikiran rakyat yang merdeka dari sikap tidak ambil peduli tentang kebersihan serta manfaat dari amalan kitar semula.
Peningkatan jumlah janaan sisa pepejal setiap tahun amat membimbangkan. Kesannya adalah kepada ekosistem negara dan kos perbelanjaan yang tinggi bagi melupuskan sisa pepejal.
SWM Environment sentiasa berusaha memberi pendidikan dan kesedaran awam tentang kepentingan amalan pengasingan sisa di punca (SAS) dan 3R supaya ianya dapat menyumbang kepada pengurangan janaan sisa pepejal yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan.
Jumlah kes sampah longgok dan pembuangan sisa pepejal secara haram di kawasan sungai dan saliran, bahu-bahu jalan, jalan mati dan lain-lain kawasan yang tersembunyi turut meningkat.
Kesan daripada perbuatan ini bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran alam sekitar malah mengganggu pemandangan dan boleh menjadi faktor penularan wabak penyakit kepada masyarakat setempat.
Sempena bulan kebangsaan ini, masyarakat diharap akan lebih prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kepentingan amalan kitar semula dalam memastikan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi yang mampan.
Impak dari kelestarian alam juga bakal menentukan masa depan negara serta anak-anak yang bakal menerajui negara pada suatu hari nanti.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]