
Perayau Perseverance Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) baru-baru ini menemui satu daripada dua bulan planet Marikh yang berbentuk luar biasa.
Bulan yang dikenali sebagai Deimos itu agak kecil saiznya iaitu hanya 12 kilometer lebar, jadi ia kelihatan seperti satu titik terang di langit Marikh.
Difahamkan NASA menemui bulan berbonjol itu ketika sedang meninjau langit Marikh.
Deimos adalah satu daripada dua bulan planet Marikh dan mengambil masa kira-kira 30 jam untuk melengkapi orbitnya.
Pada awalnya, misi Perayau Perseverance adalah untuk mengesan potensi wujudnya kehidupan primitif lalu dan untuk mengumpulkan sampel batuan kecil untuk misi kembali ke bumi di masa depan.
Perayau tersebut kini sedang menggali batuan di Kawah Jezero, destinasi yang menarik kerana saintis Nasa merasakan wilayah ini pernah dibanjiri air dan suatu ketika dulu adalah sebuah lanar (delta) sungai.
“Sekurang-kurangnya di bumi kita tahu bahawa kehidupan mikrobial hidup subur di kawasan berair,” kata Nasa.
Perseverance bukan sekadar mengumpul batuan dan pemandangan di Marikh, malah ia turut merakam bunyian yang luar biasa.
Setakat ini, mikrofon perayau tersebut berjaya merakaman bunyi Perseverance yang bergemuruh di atas tanah berbatu, lasernya yang memusnahkan batu, dan deru angin Marikh yang menakutkan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]