Grace, jururawat AI persis manusia sedia membantu

Grace, jururawat AI persis manusia sedia membantu

Grace mampu menguasai tiga bahasa, Inggeris, Mandarin dan Kantonis serta mengkhusus dalam penjagaan warga emas.

Hanson Robotics melancarkan ciptaan terbaharunya, Grace, sejenis robot manusia (humanoid) yang diharap dapat merintis revolusi dalam penjagaan kesihatan. (Gambar edition.cnn.com)

Pada 2016, Hanson Robotics mengejutkan dunia dengan kehadiran Sophia, teknologi AI yang cukup terkenal sehingga diberikan kewarganegaraan Arab Saudi.

Kini, firma robotik yang berpangkalan di Hong Kong itu melancarkan ciptaan terbaharunya, Grace, sejenis robot manusia (humanoid) yang diharap dapat merintis revolusi dalam penjagaan kesihatan.

Direka sebagai pembantu kepada pengamal perubatan, Grace dilengkapi dengan alat pengesan termasuk kamera termal untuk mengesan suhu dan nadi pesakit, sekali gus membantu doktor mendiagnosis penyakit dan memberikan rawatan.

Android tersebut juga memainkan peranan sebagai peneman pesakit. Mengkhusus dalam penjagaan warga tua, Grace mampu menguasai tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis.

Ia juga mampu berinteraksi secara sosial dan mengendalikan sesi terapi secara bersendirian.

Robot seperti Grace lebih cenderung kepada tugas sokongan buat profesional kesihatan berbanding pengganti, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hanson Robotics, David Hanson.

“Dengan menggunakan AI (kecerdasan buatan) dan robotik dalam konteks ini, dapat membantu mengumpul data penting buat pengamal perubatan untuk mengakses tahap kesihatan pesakit,” tambahnya.

Dibangunkan khusus untuk sektor perubatan, pelancaran Grace dilakukan ketika dunia berdepan pandemik Covid-19 dan wujud peningkatan dari segi permintaan untuk penyelesai telekesihatan dan rawatan tanpa sentuhan.

Menurut Persekutuan Robotik Antarabangsa (IFR), penjualan robot perubatan secara global telah meningkat sebelum penularan wabak lagi, mencecah 28% antara 2018 dan 2019.

Menurut Hanson Robotics, ia akan memulakan pengeluaran besar-besaran teknologi robotnya, termasuk Sophia dan Grace, pada akhir 2021.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.