Emirates bukti iklan komersial di puncak Burj Khalifa asli

Emirates bukti iklan komersial di puncak Burj Khalifa asli

Wanita berpakaian pramugari Emirates di dalam iklan tersebut adalah seorang penerjun udara profesional, Nicole Smith-Ludvik.

Tangkap layar babak iklan komersial Emirates dipuncak Burj Khalifa setinggi 828 meter.

Penerbangan Emirates yang berpangkalan di Dubai terpaksa berkongsi video dibelakang tabir pembikinan iklan komersialnya yang terbaharu selepas didakwa palsu oleh warganet.

Platform media sosial mula dibanjiri pelbagai reaksi dan komen warganet selepas syarikat itu memuat naik sebuah iklan yang menampilkan seorang pramugari Emirates yang lengkap beruniform sedang berdiri di puncak Burj Khalifa setinggi 828 meter.

Wanita itu juga dilihat mengangkat pelekat yang bertulis “Berpindah dari United Arab Emirates (UAE) ke senarai amber United Kingdom (UK) membuat kami merasa berada di puncak dunia. Terbang dengan Emirates. Terbang lebih baik.”

Ramai yang kagum, malah tidak kurang juga yang curiga dan mendakwa iklan itu sekadar menggunakan skrin hijau dan kesan khas.

Menjawab pelbagai andaian yang dilemparkan, Emirates memuat naik video di belakang tabir iklan tersebut yang menunjukkan bagaimana pasukannya bekerja.

“Penggambaran di puncak itu memerlukan latihan dan protokol keselamatan yang ketat. Dari tingkat 160, kami mendaki lebih satu jam untuk mencapai puncak.

“Untuk merakam antara iklan komersial tertinggi yang pernah difilemkan,” kata Emirates.

Wanita di dalam iklan tersebut adalah seorang penerjun udara profesional, Nicole Smith-Ludvik.

“Saya cukup berbangga diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata Ludvik dalam satu hantaran.

Hasilnya, video tersebut mendapat tontonan lebih 1.7 juta warganet di Instagram dengan lebih 8,000 komen dari pengguna media sosial yang mengagumi pembikinan video tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.