
Buat pertama kali dalam tempoh 300 tahun, karya terkenal pelukis Belanda, Rembrandt yang bertajuk ‘The Night Watch’ kembali dipamerkan dalam saiz asalnya dengan menggunakan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Lukisan terbabit menggambarkan kapten tentera bandar Amsterdam yang mengerahkan anggotanya ke medan perang pada 1642.
Ia dianggap sebagai salah satu daripada karya teragung yang dihasilkan ketika zaman kegemilangan Belanda namun, seluruh bahagian sisi lukisan terbabit terkoyak ketika dipindahkan pada 1715.
Kegagalan menemui semula bahagian yang hilang menyebabkan pelukis lain pada zaman itu menghasilkan salinan dan ia digunakan pakar pembaik pulih serta saintis untuk mencipta semula karya asal berkenaan.
“Ia tidak akan menjadi seperti asal tetapi ia boleh memberi pandangan berbeza kepada anda terhadap komposisi lukisan ini,” kata Pengarah Rijksmuseum, Taco Dibbits.
Manakala Saintis Kanan muzium itu, Robert Erdmann menjelaskan terdapat beberapa proses dalam mencipta semula bahagian yang hilang dengan melakukan teknik tindihan tanpa menyentuhnya.
Ia terdiri daripada proses mengambil gambar lukisan ‘The Night Watch’ dan salinannya yang lebih kecil dihasilkan Gerrit Lundens sekitar tahun 1655.
Kumpulan penyelidik kemudiannya memprosesnya dalam saiz yang sama untuk disesuaikan dengan lukisan Rembrandt sebelum menggunakan teknologi AI.
Erdmann berkata, hasil penggunaan teknologi itu agak memuaskan seperti jelmaan semula karya Lundens ke dalam lukisan Rembrandt.
“Saya rasa kita sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki teknik ini,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]