
Nama dua beradik di Mesir terpahat dalam Guinness World Records apabila mereka berkongsi keunikan sama dengan memiliki saiz tubuh badan ‘gergasi’.
Gabungan ketinggian Mohamed dan Huda Shehata dikatakan sudah mencecah 414.4 sentimeter (cm) yang hampir sama dengan ketinggian sebuah bas dua tingkat di London.
Mohamed yang berusia 34 tahun juga diiktiraf sebagai pemegang rekod manusia yang memiliki telapak tangan paling besar dan lengan paling panjang dengan ukuran 250.3cm.
Manakala adiknya juga turut memecah tiga rekod dunia apabila dikurniakan dengan kaki kanan terbesar bagi wanita iaitu 33.1cm, tangan dan lengan paling besar yang masing-masing berukuran 24.3cm dan 236.3cm.
Rekod itu disahkan pengadil Guinness, Kenzy Defrawy yang bertemu mereka di sebuah klinik di Mesir untuk mengambil ukuran badan masing-masing.
Dia turut dibantu Professor Pembedahan Ortopedik, Dr Khaled Emara dan kakitangan perubatannya, Dr Mahmoud El Shopaky dan Dr Mohamed Nour.
Dua beradik itu tinggal bersama ibu mereka, Rouhiy di sebuah perkampungan kecil yang mengambil masa perjalanan 90 minit di pinggir Kaherah.
Mereka dipercayai mengalami ketumbuhan pada kelenjar pituitari yang menyebabkan pengeluaran hormon tumbesaran secara berlebihan.
Huda yang dilahirkan pada 1991, menjalani kehidupan normal ketika kanak-kanak namun dia menyedari saiznya semakin tinggi berbanding rakan lain apabila berusia 12 tahun, sama seperti abangnya.
Keadaan itu menyebabkan mereka sukar membeli pakaian dan ia terpaksa ditempah khas menerusi khidmat seorang tukang jahit di kampung.
Disebabkan ketinggian dua beradik itu semakin bertambah dari hari ke hari, mereka mungkin memerlukan pembedahan untuk menghentikan proses itu seperti yang dilakukan terhadap manusia tertinggi dunia, Sultan Kösen di Turki.
Pada 2012, Sultan menjalani pembedahan di Universiti Virginia untuk merawat masalah sama dikenali sebagai acromegaly yang menyebabkan tumbesaran secara mendadak akibat pengeluaran hormon secara berlebihan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]