Berlian ketiga terbesar dunia berjaya ditemukan

Berlian ketiga terbesar dunia berjaya ditemukan

Berlian seberat 1,098 karat ini ditemukan syarikat berlian di Botswana, Debswana.

Mokgweetsi menunjukkan berlian ketiga terbesar dunia yang dipersembahkan kepadanya dalam satu upacara di Gabarone. (Gambar AFP)

Sebuah syarikat berlian di Botswana mendakwa mereka berjaya menemukan sebutir berlian seberat 1,098 karat yang dipercayai sebagai berlian ketiga terbesar di dunia.

Penemuan berharga itu dipersembahkan kepada Presidennya, Mokgweetsi Masisi selepas dua minggu ia ditemukan oleh syarikat berkenaan, Debswana.

Bagaimanapun, berat berlian itu dikatakan tidak begitu jauh bezanya dengan berlian kedua terbesar dunia yang turut ditemukan di Botswana pada 2015.

“Ini adalah berlian terbesar ditemukan oleh Debswana sepanjang lebih 50 tahun syarikat ini beroperasi.

“Berdasarkan analisis awal kami, ia dipercayai menjadi berlian ketiga terbesar di dunia,” kata pemangku pengarah urusan Debswana, Lynette Armstrong.

Menteri Sumber Asli Botswana, Lefoko Moagi, menganggap penemuan berkenaan sebagai berita gembira untuk Botswana yang berdepan dengan kemerosotan jualan berlian akibat pandemik tahun lalu.

Sehingga kini, berlian yang ditemui di lombong berlian Jwaneng itu masih belum dinamakan oleh syarikat berkenaan.

Sebelum ini, berlian terbesar dalam sejarah adalah berlian Cullinan seberat 3,106 karat apabila ia berjaya ditemukan di Afrika Selatan pada 1905.

Manakala berlian kedua terbesar pula ialah Lesedi La Rona yang mempunyai berat 1,109 karat.

Botswana adalah pengeluar berlian terbesar di Afrika.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.