Panjangnya bulu mata You Jianxia

Panjangnya bulu mata You Jianxia

Pemegang Guinness World Record kerana memiliki bulu mata terpanjang di dunia kini memecahkan rekodnya sendiri.

Bulu mata wanita ini berukuran 20.5cm pada Mei lalu.

Seorang wanita yang diiktiraf Guinness World Record dengan memiliki bulu mata terpanjang pada 2016, memecahkan rekodnya sendiri dengan ukuran terbaru bulu matanya sepanjang 20.5 sentimeter (cm) pada Mei lalu.

Bulu mata wanita dari China itu, You Jianxia semakin panjang dalam tempoh beberapa tahun lalu sekali gus berjaya melepasi rekod lama yang dipegangnya iaitu 12.4 cm.

“Saya mula sedar bulu mata menjadi semakin panjang sejak 2015 lagi. Ia terus tumbuh perlahan-lahan hingga menjadi terlalu panjang.

“Saya pernah berjumpa pakar perubatan untuk mendapatkan penjelasan mengenai keadaan ini. Namun, mereka tidak dapat menyatakan sebarang punca perubatan sebaliknya mendapati ia adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Selain itu, saya juga cuba mencari punca dari sudut lebih saintifik seperti faktor genetik. Bagaimanapun, tiada seorang pun ahli keluarga yang mempunyai bulu mata panjang seperti ini,” katanya.

Menurut Jianxia, dia menerima keunikan itu dengan hati yang terbuka dan ia langsung tidak menjejaskan aktiviti harian untuk menguruskannya.

Malah katanya, ia juga menjimatkan masanya untuk bersiap dan mengenakan mekap.

“Saya berterima kasih dengan keunikan ini kerana kini tidak perlu memakai pembayang mata atau celak. Bulu mata panjang ini boleh dijadikan sebagai ‘celak’ yang panjang,” katanya.

Wanita itu menganggap bahawa pengiktirafan terbaru berkenaan memberi kekuatan kepada dirinya selain berbangga dengan keunikan dimiliki.

“Saya ingin menjuarai perkara berkaitan kecantikan yang unik dimiliki oleh sesetengah orang, seperti juga mereka yang memiliki rambut atau kuku terpanjang,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.