Artis Brazil cipta semula karya seni terkemuka guna plastik terbuang

Artis Brazil cipta semula karya seni terkemuka guna plastik terbuang

Eduardo Srur gantikan cat dan gam dengan cebisan plastik untuk hasilkan karya seninya.

Eduardo Srur menggunakan cebisan plastik untuk mencipta semula karya terkenal oleh Picasso, Van Gogh, Monet dan Warhol. (Gambar Reuters)

Sejak kebelakangan ini, penggunaan bahan kitar semula dilihat semakin meluas terutama dalam menghasilkan pelbagai hasil kraftangan serta lukisan.

Ia juga menjadi satu manifestasi kesedaran orang ramai terhadap amalan kitar semula dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Bagi seorang artis di Brazil, Eduardo Srur, cebisan plastik sudah cukup berharga untuk dia menghasilkan sebuah karya yang menakjubkan.

Karyanya langsung tidak menggunakan cat, sebaliknya hanya menggunakan semula plastik terbuang yang dikutip dari sungai dan kaki lima.

Menerusi pameran terbarunya, dia mencipta semula karya Picasso, Van Gogh, Monet dan Warhol untuk mencuri tumpuan orang ramai supaya lebih peka terhadap isu pencemaran alam sekitar.

“Karya ini akan terus kekal dalam sejarah selama berabad-abad lamanya dan begitu juga dengan sisa plastik yang kita buang merata-rata,” katanya ketika ditemui di studionya.

Pamerannya yang bertajuk ‘Natureza Plástica’ (Plastic Nature) akan diadakan menjelang akhir tahun ini.

Srur sudah lama menjadikan tema alam sekitar untuk diterapkan dalam hasil karyanya termasuk mencipta arca gergasi di kawasan orang ramai di sekitar Sao Paulo.

Sejak pandemik Covid-19 melanda, dia memberi fokus sepenuhnya dengan menggantikan penggunaan berus cat dengan plastik terbuang untuk membentuk pelbagai imej menarik.

“Plastik mendominasi segala-galanya dan setiap orang pada hari ini. Jadi, menerusi pameran ini, saya menghasilkan karya seni yang langsung tidak menggunakan cat atau gam. Hanya cebisan plastik digunakan untuk menghasilkan imej yang anda lihat,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.